Malaysia hasrat jadi negara neutral karbon: Mustapa

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia berhasrat menjadi negara neutral karbon pada masa akan datang dan melihat isu perubahan iklim serta kelestarian sebagai isu besar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, walaupun Malaysia menyumbang kurang daripada satu peratus kepada gas rumah hijau global, kerajaan tetap melihat isu berkenaan secara serius.

“Memandangkang kita berhasrat menjadi negara neutral karbon, keutamaan akan diberikan kepada ekonomi yang rendah karbon dan yang tahan iklim serta pemuliharaan sumber semula jadi,” katanya dalam ucaptama sesi webinar ‘Climate and Sustainability Ambitions of Our Trading Partners’ hari ini.

Dianjurkan oleh Climate Governance Malaysia, webinar itu disertai oleh beberapa perwakilan asing ke Malaysia, iaitu Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia, Michalis Rokas; Duta Jepun, Oka Hiroshi; Duta Norway, Gunn Jorid Roset; Duta Itali, Cristiano Maggipinto dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, David Thomas.

Mustapa juga berkata, syarikat Malaysia perlu melihat ke depan dan membangunkan strategi hijau yang mantap bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau serta penggunaan sumber.

“Pengurangan perubahan iklim serta pencegahan pencemaran menjadi semakin penting tatkala perniagaan terus mendapatkan lesen sosial untuk beroperasi,” katanya.

Mengambil satu contoh, Mustapa berkata, semakin banyak industri di dunia yang menumpukan usaha menjadi syarikat lestari dari segi alam sekitar dan cekap sumber selain meningkatkan komitmen mereka ke arah pencapaian matlamat Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG).

“Dengan menjajarkan cara kita menjalankan perniagaan agar memenuhi keperluan rakan dagang kita, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) dan Paris Accord, saya percaya akan dapat membuka peluang seterusnya dan nilai lebih besar direalisasikan untuk Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mustapa berkata, Dasar Tenaga Negara akan dilancarkan pada tahun ini dan ia berperanan sebagai agenda perancangan dan pembangunan bagi sektor tenaga negara ketika beralih ke arah masa depan rendah karbon.

“Dasar ini, bersama-sama pelan tindakan yang menyeluruh, akan memperkukuh ekosistem perdagangan negara,” katanya.

Dilaporkan Unit Perancang Ekonomi kini pada peringkat akhir penggubalan Dasar Tenaga Negara yang dijangka dilancarkan pada separuh kedua 2021. - Bernama