X

Kindly register in order to view this article
!

Rakyat Malaysia diseru bantu India atas dasar kemanusiaan

Orang ramai menunggu untuk mengisi semula silinder oksigen untuk pesakit Covid-19 di pusat pengisian semula di New Delhi. - Foto AFP
A
A

KUALA LUMPUR - Tatkala India berperang dengan gelombang kedua pandemik Covid-19 yang dahsyat, rakyat Malaysia diseru menghulurkan bantuan dengan menyumbang barangan perubatan termasuk peralatan oksigen dan bekalan yang berkaitan.

Penasihat Persatuan Jaringan Usahawan India Malaysia (1MINE), Datuk S Gopinath berkata, sekarang masanya untuk menunjukkan soladariti dengan India memandangkan kemudahan kesihatan negara itu kian lumpuh.

“Kerajaan Malaysia diharap dapat membantu dengan memudahkan proses penyerahan bantuan perubatan yang sangat diperlukan itu atas dasar kemanusiaan.

"Ini penting kerana ia mencerminkan komitmen Malaysia terhadap masyarakat antarabangsa dalam penyerahan bantuan perubatan," katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Gopinath berkata, pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) boleh menjadi pusat logistik sehenti untuk mengumpul dan menghantar bantuan yang disumbangkan rakyat Malaysia.

Katanya, sumbangan itu boleh dihantar melalui TUDM sekali gus melambangkan perkongsian dan persahabatan strategik India-Malaysia yang terjalin sejak 1957.

India menghadapi lonjakan kes Covid-19 yang mendadak dan menjadi negara pertama di dunia melaporkan lebih 400,000 jangkitan baharu dalam sehari pada hujung minggu lalu.

Negara yang bergelut dengan kekurangan bekalan oksigen perubatan dan bekalan lain itu turut melaporkan varian baharu yang lebih mudah merebak, mendorong banyak negara menggantung penerbangan dari India.

India melaporkan hampir 20 juta kes Covid-19 dan sekitar 219,000 kematian, menyebabkan infrastruktur penjagaan kesihatan dan kemudahan menguruskan mayat tidak mencukupi.

Jumaat lalu, Singapura telah menghantar 256 silinder oksigen menggunakan dua pesawat tentera udara C-130 ke Benggala Barat, India. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!