PKP dilaksana di Kuala Lumpur mulai 7 Mei hingga 20 Mei

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta beberapa daerah dan mukim di Terengganu, Johor dan Perak diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 7 hingga 20 Mei, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, PKP di Kuala Lumpur dikuatkuasakan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 17 kluster baharu telah direkodkan sejak 1 hingga 27 April lepas dengan jumlah kes harian yang semakin meningkat.

“Setelah meneliti pembentangan serta cadangan daripada KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKP di seluruh Kuala Lumpur hingga 20 Mei dengan SOP sepertimana yang telah diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Rabu.

Ismail Sabri berkata, selain itu, sebanyak 14 mukim dalam daerah Besut (kecuali Mukim Hulu Besut) turut dikenakan PKP berkuat kuasa pada tempoh yang sama setelah KKM merekodkan sebanyak 406 kes positif hasil 5,617 ujian saringan yang dijalankan ke atas penduduk di lokaliti itu sejak 1 April hingga 3 Mei.

Mukim yang terlibat ialah Kampung Raja, Lubuk Kawah, Pelagat, Tenang, Keluang, Bukit Kenak, Kubang Bemban, Jabi, Kerandang, Pengkalan Nangka, Pasir Akar, Tembila, Bukit Puteri dan Kuala Besut.

Beliau berkata, KKM memaklumkan peningkatan kes di daerah itu berpunca daripada pergerakan keluar masuk pelajar dan pekerja dari negeri jiran dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti 95 peratus, malah Besut juga merekodkan 15 kluster bagi tempoh yang sama dengan ada antaranya menular ke lokaliti lain.

Sementara itu, di Johor kawasan yang dikenakan PKP ialah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi berikutan jumlah kes aktif yang direkodkan di lokaliti itu adalah tinggi dengan kebanyakan kes adalah sporadik dalam komuniti.

Selain itu, ketiga-tiga daerah berkenaan juga berstatus zon merah dengan jumlah kes yang tinggi melebihi 150 kes manakala kapasiti hospital dan unit rawatan rapi (ICU) melebihi 70 peratus, katanya.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata di Perak pula, kawasan yang dikenakan PKP adalah Mukim Taiping, daerah Larut Matang dan Selama setelah berlaku peningkatan mendadak kes bagi kawasan berkenaan.

“KKM juga melaporkan terdapat peningkatan kes bagi tiga kluster aktif di Mukim Taiping iaitu Kluster Jalan Kolam Dua di Kampung Expo, Kluster Jalan Pokok Assam di Kampung Pokok Assam dan Kluster Jalan Sepat di Kamunting,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKP di kesemua kawasan itu adalah bagi memastikan pergerakan penduduk dapat dikawal selain memudahkan KKM untuk melaksanakan ujian saringan secara besar-besaran bagi menyekat penularan jangkitan keluar daripada lokaliti terlibat.

Dalam pada itu, berdasarkan situasi semasa COVID-19 ketika ini, kerajaan juga bersetuju untuk tidak membenarkan sebarang penganjuran majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan, swasta serta majlis sosial di semua kawasan yang dilaksanakan PKP.

Majlis sosial itu seperti kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, resepsi, majlis akikah, doa selamat, tahlil, sambutan hari ulang tahun, pertemuan semula (reunion), retreat dan lain-lain majlis sosial.

“Begitu juga dengan makan di restoran turut tidak dibenarkan berkuat kuasa dari tarikh pelaksanaan PKP,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan Kampung Lubok Katak, Tapah, Batang Padang di Perak; Kampung Permatang Tulang Mukim Sebatu, Jasin di Melaka dan Sekolah Menengah Ugama (SMU) Pantai Manis, Papar, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga bermula pada Jumaat ini hingga 20 Mei.

Langkah itu dilakukan selepas KKM mendapati berlaku peningkatan kes yang ketara serta kes aktif yang tinggi di kawasan berkenaan dan PKPD dikenakan bagi memudahkan saringan bersasar dilakukan, sekali gus mengekang penularan jangkitan Covid-19.

“PKPD di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru, Johor; Maahad Tahfiz Al-Quran Al Asriah, Banggol Chicha, Pasir Mas dan Sekolah Menengah Sains Machang, Kelantan; serta di Kampung Sileng Dayak, Lundu, Sarawak yang dilaksanakan sebelum ini, kesemuanya ditamatkan esok,” katanya.

Sementara itu, PKPD yang dikenakan di Rumah Panjang Giman, Batu 13, Jalan Engkamop, Pakan, Sarikei; Kampung Rayang, Serian; dan lima Rumah Panjang Jalan Bukut Balingian, Mukah, Sarawak yang masing-masing sepatutnya ditamatkan esok dilanjutkan hingga 20 Mei.

Ia dilakukan setelah penilaian risiko mendapati masih terdapat kes positif dan penularan berterusan di kesemua kawasan terlibat. - Bernama