Polis, TNB potong elektrik di premis kedai makan degil

Kerja-kerja pemotongan elektrik sedang dilakukan di premis selepas pemiliknya didapati masih berdegil berterusan menjual nombor ekor. - Foto Ihsan IPD Kemaman
Kerja-kerja pemotongan elektrik sedang dilakukan di premis selepas pemiliknya didapati masih berdegil berterusan menjual nombor ekor. - Foto Ihsan IPD Kemaman
A
A
A

KEMAMAN - [DIKEMAS KINI] Polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) daerah ini bertindak memotong bekalan elektrik di sebuah kedai makan masakan Thailand kerana masih berdegil menjual nombor ekor tanpa lesen pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, operasi pemotongan dilakukan kira-kira jam 12 tengah hari selepas mendapati pemilik premis tersebut yang juga seorang wanita warga Thailand pernah dijatuhi hukuman denda di Mahkamah Majistret.

Hanyan berkata, polis akan memantau premis itu dalam tempoh pemotongan bekalan elektrik selama satu hingga tiga bulan.

"Taktik pemiliknya yang berselindung di sebalik perniagaan kedai masakan Thailand yang sah menjalankan kegiatan judi nombor ekor tanpa lesen dibongkar selepas serbuan pada awal April lalu," ” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Hanyan berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda tidak kurang dari RM20,000 dan tidak lebih dari RM200,000 serta penjara tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain Hanyan berkata, polis akan menambah sekatan jalan raya (SJR) di beberapa lokasi secara berkala sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri terutama SJR Cheneh (Jalan Jerangau – Jabor) dan SJR Pasdec Chendor yang dijadikan laluan tikus.

"Selain itu, kita juga mengekalkan SJR 24 jam di Kawasan Rehat dan Rawat Lebuhraya Pantai Timur 2 (R&R Perasing) dan SJR Geliga (Jalan Kuala Terengganu-Kuantan) yang dilaksanakan sejak 13 Januari lalu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0," katanya.

Berhubung indeks jenayah pula, statistik menunjukkan penurunan kes sebanyak 17 peratus bagi tempoh 1 Januari sehingga 4 Mei tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Hanyan berkata, penurunan kes jenayah sebanyak 103 kes, berbanding 124 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

"Walaupun statistik menunjukkan penurunan, pihaknya akan sentiasa memastikan trend jenayah terus menurun dengan mengambil tindakan yang lebih komprehensif bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara," katanya.