Kedah beri peringatan akhir kepada Pulau Pinang

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah memberikan peringatan akhir kepada Pulau Pinang agar tidak lagi mencampuri urusan kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda yang berada di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan Pulau Pinang mencadangkan penubuhan Lembaga Lembagan Ulu Muda (UMBA) untuk menguruskan sumber air Sungai Muda di Kedah boleh disifatkan melanggar kedaulatan negeri dan rakyatnya.

Menurutnya, kekerapan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyentuh isu tersebut jelas membuktikan mereka bergantung penuh kepada sumber air yang datang dari negeri ini.

"Saya mahu menasihatkan PBAPP agar tidak masuk campur urusan dalaman Kedah sebagai negeri berdaulat yang mempunyai Sultan, kerajaan, Menteri Besar, rakyat, wilayah dan Undang-Undang Tubuh Negeri sendiri. Jangan suka-suka campur tangan dalam wilayah Kedah dan saya nak beritahu kali terakhir jangan minta campur tangan dah.

"Dia (PBAPP) mengaku Ulu Muda penting kepada Pulau Pinang, namun pada masa sama enggan bayar apabila kita buat tuntutan. Dia mengaku air hak orang, tetapi tidak mahu bayar," katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman, dekat sini, pada Rabu.

Jelas Muhammad Sanusi, jika Pulau Pinang mahu Kedah mengambil kira kepentingan air untuk negeri tersebut, PBAPP juga perlu membuat bayaran seperti yang dilakukan oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) melakukan bayaran kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).

Menurutnya, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mencadangkan Lembaga Lembagan Sungai Muda (MRBA) untuk mengurus bahagian Sungai Muda yang bersempadanan antara Kedah dan Pulau Pinang mengikut Perlembagaan Persekutuan.

"Bahagian ini hanya merujuk kepada Sungai Muda bermula dari Kampung Ekor Kucing, Pantai Perai sehingga ke muara, namun PBAPP mencadangkan UMBA yang kawasannya sehingga ke Ulu Muda yang terletak di wilayah Kedah," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, media melaporkan Ketua Pegawai Operasi, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, sebelum ini pihaknya mencadangkan kerajaan menubuhkan UMBA untuk menyusun dan melaksanakan Rancangan Lembangan Ulu Muda bagi kepentingan 4.2 juta orang penduduk di utara.

Namun tidak lama kemudian, Jaseni berkata, Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Zaini Ujang dipetik dalam sebuah laporan berita menyatakan bahawa penubuhan MRBA akan menyelesaikan pertelingkahan antara Kedah dan Pulau Pinang ke atas Sungai Muda.

Jelasnya, dari segi konsep, perbezaan antara UMBA yang dicadangkan Pulau Pinang dan MRBA yang dicadangkan oleh KASA adalah cadangan Pulau Pinang adalah untuk melindungi tadahan air di Empangan Muda, Pedu dan Ahning sementara cadangan oleh KASA hanya terbatas untuk melindungi lembangan Sungai Muda.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi berkata, dua daripada 14 projek Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Sungai Muda sudahpun diluluskan dan salah satunya sedang dibina di Kampung Ekor Kucing, Pantai Perai.