Dua tuntutan Cuepacs NS

Azih (enam, kiri) menyerahkan cenderahati kepada Aminuddin. Turut kelihatan Solihuddin (lima, kanan).
Azih (enam, kiri) menyerahkan cenderahati kepada Aminuddin. Turut kelihatan Solihuddin (lima, kanan).
A
A
A

SEREMBAN - Dua insentif baharu antara tuntutan yang dibuat oleh Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Negeri Sembilan kepada kerajaan negeri untuk dipertimbangkan dalam sesi kunjung hormat ke pejabat Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang diadakan minggu lalu.

Pengerusinya, Solihuddin Jamaludin berkata, tuntutan berkenaan ialah elaun ‘hazard’ atau elaun risiko bagi penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi penjawat awam pendapatan bawah RM3,000.

“Tugas sebagai penguatkuasa agak berisiko kerana ada kalanya mereka ini jadi sasaran kemarahan orang awam sehingga ada terima ugutan. Di Melaka, penguatkuasa ini diberi elaun RM250 dan Selangor RM300, jadi kita harap ia dapat dipertimbangkan.

“Mengenai tuntutan rumah PPR itu pula kerana kita lihat masih ramai penjawat awam yang dah kerja lima tahun pun masih tak mampu beli rumah kerana harga rumah sekarang yang semakin meningkat,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain itu, pihaknya juga memandang serius mengenai teguran Aminuddin terhadap penjawat awam yang membuang masa dengan bersarapan jauh dari pejabat dan ambil masa lama.

Mengulas lanjut beliau berkata, sikap sebegitu perlu dikikis kerana ia memberi persepsi negatif terhadap institusi perkhidmatan awam.

“Walaupun ia hanya kes terpencil, tapi tak boleh dibiarkan. Saya harap semua penjawat awam tidak ulanginya lagi.

“Secara keseluruhan sesi pertemuan itu nampaknya positif dan Menteri Besar bersedia mempertimbangkan tuntutan Cuepecs yang merupakan tulang belakang dalam laksanakan segala dasar kerajaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu sesi kunjung hormat berkenaan turut dihadiri oleh Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda dan Setiausaha Kehormat Cuepacs, Mohd Razali Singah.