Lawatan di penjara bersyarat sempena Aidilfitri

Kenyataan Jabatan Penjara Malaysia pada Rabu.
Kenyataan Jabatan Penjara Malaysia pada Rabu.
A
A
A

KAJANG - Jabatan Penjara Malaysia menetapkan tarikh lawatan sempena Aidilfitri bagi keluarga penghuni penjara ialah selama lima hari bermula 15 hingga 19 Mei ini secara bersyarat.

Menerusi satu kenyataan, Jabatan Penjara Malaysia berkata, antara syarat-syaratnya ialah seorang penghuni penjara hanya dibenarkan untuk menerima sekali sahaja lawatan daripada keluarga.

Menurutnya, lawatan perjumpaan hanya dibenarkan kepada pelawat yang membuat temu janji sahaja.

"Pelawat perlu membuat temu janji dengan institusi berkenaan bermula hari ini (Rabu) sehingga 10 Mei.

"Terdapat tiga kaedah tempahan iaitu Sistem EVisit di laman web www.prison.gov.my, panggilan telefon di institusi berkenaan dan menghantar e-mel atau surat ke institusi berkenaan.

"Pihak institusi akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat," kata kenyataan tersebut pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, masa perjumpaan maksimum selama 30 minit juga bergantung kepada situasi institusi penjara berkaitan.

Katanya, hanya dua orang pelawat dibenarkan dalam kalangan keluarga yang telah ditetapkan oleh pihak penjara.

Artikel Berkaitan:

"Pelawat berumur 12 tahun ke bawah tidak dibenarkan melakukan perjumpaan.

"Warga emas berumur 60 tahun ke atas tidak digalakkan dan sebarang risiko adalah tanggungan sendiri.

"Pelawat juga dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan semasa perjumpaan," katanya.

Tambah kenyataan itu, kebenaran perjumpaan tidak terpakai kepada penjara yang berada dalam zon atau daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Maklumat institusi boleh didapati di laman web Jabatan Penjara Malaysia iaitu www.prison.gov.my.