Polis Selangor tingkatkan jumlah sekatan jalan raya

Foto Fail
Foto Fail
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor akan mempertingkatkan jumlah sekatan jalan raya di setiap daerah di negeri itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, ia bertujuan untuk menyekat sebarang aktiviti rentas negeri atau daerah daripada berlaku terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Selain itu, pemantauan di bazar Aidilfitri, pusat beli-belah dan tempat tumpuan orang ramai akan turut dipertingkatkan bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Arjunaidi berkata, daerah yang terlibat dalam pelaksanaan PKP ialah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

"Bagi kesemua daerah ini, pergerakan merentas negeri dan daerah tidak dibenarkan sama sekali kecuali atas urusan kecemasan.

"Sementara itu, bagi PKPB pula, ia akan dilaksanakan di tiga daerah iaitu di Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor," katanya.

Arjunaidi menasihati orang ramai agar terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan mengamalkan disiplin kendiri.

"Marilah kita bersama-sama bersatu hati dalam usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan enam daerah di Selangor diletakkan di bawah PKP bermula 6 Mei sehingga 17 Mei.