JKNS tingkatkan kapasiti katil di ICU

Dr Sha’ari Ngadiman
Dr Sha’ari Ngadiman
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bakal meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) kepada 200 buah bagi pesakit Covid-19 sebagai persediaan menangani kemungkinan peningkatan mendadak kes Covid-19 di Selangor, berbanding 142 katil pada masa ini.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, langkah itu dilaksanakan dengan menangguhkan kes-kes pembedahan elektif di seluruh negeri bagi mengurangkan kebergantungan pada katil ICU.

Bagaimanapun bagi kes-kes bukan Covid-19 yang perlu dirawat segera, JKNS akan membuat penyumberan luar daripada fasiliti swasta bagi menampung keperluan.

Bercakap pada sesi temu bual khas bersama Bernama dan RTM di sini pada Rabu, Dr Sha'ari berkata tindakan-tindakan tersebut mampu mengurangkan kesesakan di ICU hospital Selangor yang kini mencapai 92 peratus.

"Kita menyambut baik pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor kerana pengalaman dahulu memperlihatkan akan berlaku pengurangan jumlah kemalangan jalan raya yang menyebabkan dewan bedah akan kurang digunakan dan secara tidak langsung penggunaan ICU juga dapat dijimatkan untuk kes-kes berkenaan," katanya.

Dr Shaari berkata, situasi kes Covid-19 semasa banyak disumbangkan oleh kes-kes kontak rapat daripada ahli keluarga pesakit COVID-19 iaitu sebanyak 90 peratus, manakala kes yang berpunca daripada sekolah dan sektor industri masing-masing berjumlah lima peratus.

Jumlah semasa pesakit Covid-19 kategori tiga dan ke atas ketika ini adalah lebih tinggi di negeri ini berbanding situasi sebelum ini.

"Ini menunjukkan pematuhan masyarakat terhadap prosedur operasi standard (SOP) tidak begitu memuaskan berbeza dengan kilang-kilang yang majoritinya kini patuh pada SOP yang ditetapkan," katanya, menambah semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengurangkan risiko jangkitan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkara lain, Dr Sha'ari berkata susulan pengumuman kerajaan persekutuan semalam mengenai pelaksanaan sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) bermula Jumaat (7 Mei) ini, Selangor telah mengenal pasti 25 lokaliti di enam daerah tersebut berdasarkan jumlah kes yang dicatatkan dalam tempoh dua minggu.

"Kita juga merancang selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, pemberian suntikan vaksin akan dilakukan secara outreach programme kepada golongan berisiko di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes Covid-19 yang tinggi agar mereka terhindar daripada komplikasi sekiranya dijangkiti Covid-19," katanya.

Selangor semalam (Selasa) melaporkan kes harian baharu tertinggi berbanding negeri-negeri lain iaitu sebanyak 675 kes atau 21.6 peratus daripada keseluruhan 3,120 kes. - Bernama