Bubur lambuk air tangan Tunku Azizah untuk petugas barisan hadapan

Yang di-Pertuan Agong (dua, kiri) dan Raja Permaisuri Agong (dua, kanan) berkenan berangkat ke program memasak bubur lambuk bersama Kelab Kebajikan dan Sukan Istana Negara (KEKSIN) di Istana Negara hari ini.
 -Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong (dua, kiri) dan Raja Permaisuri Agong (dua, kanan) berkenan berangkat ke program memasak bubur lambuk bersama Kelab Kebajikan dan Sukan Istana Negara (KEKSIN) di Istana Negara hari ini.
 -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Petugas barisan hadapan di sekitar ibu negara hari ini bertuah apabila Raja Pemaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang terkenal dengan hobi memasaknya, berkenan menyediakan juadah bubur lambuk buat golongan itu.

Istimewanya bubur lambuk yang dimasak mengikut resipi dari Johor dan Pahang itu, turut mendapat ‘sentuhan’ daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mencemar duli membantu Raja Permaisuri memasak di perkarangan surau utama Istana Negara pada Rabu.

Turut membantu menyediakan juadah itu ialah Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al- Sultan Abdullah.

Sambil dibantu kira-kira 180 pegawai dan kakitangan Kelab Kebajikan dan Sukan Istana Negara (KEKSIN), Tunku Azizah kelihatan lincah ‘beraksi’ sejak awal proses memasak makanan tradisi setiap kali bulan Ramadan itu, yang disiapkan dengan mengambil masa kira-kira tiga jam.

“Saya harap bubur lambuk ini dapat hiburkan perut, selera dan hati petugas barisan hadapan kita. Harap bubur ini sedaplah kerana saya bukan masak ala kadar, masak bahan-bahan semua cukup, bagaimana saya makan begitulah saya masak,” titah Tunku Azizah kepada pemberita.

Tunku Azizah juga mezahirkan hasrat untuk mengagihkan bubur lambuk kepada rakyat di pintu-pintu Istana Negara, namun disebabkan kekangan Covid-19, baginda berharap program itu dapat dibuat pada tahun hadapan.

Sementara itu, Pengerusi KEKSIN Mohd Irfan Idrus berkata program memasak bubur lambuk yang bermula kira-kira 11.30 pagi itu merupakan aktiviti tahunan dianjurkan pihaknya bersempena bulan Ramadan.

Katanya, sebanyak empat kawah bubur lambuk dimasak pada hari ini, dua menggunakan resipi Johor dan dua lagi resipi Pahang.

Artikel Berkaitan:

Mohd Irfan yang juga Ketua Pegawai Pentadbir di Istana Negara berkata sebanyak 1,600 bubur lambuk akan diagihkan kepada petugas barisan hadapan di Kuala Lumpur hari ini sebagai menghargai jasa mereka dalam membantu negara memerangi pandemik Covid-19.- Bernama