KSU terima suntikan vaksin Covid-19

Mohammad Mentek bergambar dengan plakad 'Saya telah Divaksin' selepas proses penerimaan suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech di Pusat Pemberian Vaksin, Presint 15 hari ini. -Foto Bernama
Mohammad Mentek bergambar dengan plakad 'Saya telah Divaksin' selepas proses penerimaan suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech di Pusat Pemberian Vaksin, Presint 15 hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Setiausaha (KSU) kementerian termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Seri Mohammad Mentek hari ini menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Seroja, Presint 15 di sini.

Turut kelihatan menjalani proses vaksinasi di PPV berkenaan ialah KSU Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir, KSU Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan KSU Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak.

Mohammad tiba di PPV berkenaan pada kira-kira 11 pagi dan melalui lima stesen yang dikhaskan sebelum menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

“Saya ucap terima kasih kepada petugas kesihatan kerana telah melaksanakan tugas dengan baik... suntikan vaksin tidak mengambil masa lama, sekejap sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menerima suntikan.

Mohammad berkata beliau tidak merasai kesan sampingan selepas berada 15 minit di stesen pemerhatian PPV itu serta menasihatkan masyarakat agar segera mendaftar bagi membolehkan mereka menerima suntikan vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Jangan takut atau risau, daftar segera dan hadir ke PPV yang dikhaskan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19,” katanya.

Mohammad turut meminta pengguna media sosial supaya tidak membuat hantaran negatif berhubung Program Imunisasi Covid-19Kebangsaan kerana ia akan mempengaruhi keyakinan rakyat terhadap proses vaksinasi.

“Jangan keluarkan kenyataan negatif, lalui dahulu proses vaksinasi. Vaksin ini bagus untuk kita pastikan penyebaran Covid-19 dapat diputuskan,” katanya yang akan menerima suntikan dos kedua pada 25 Mei ini. -Bernama

Artikel Berkaitan: