Detik pertemuan tiga beradik lepas rindu di jambatan undang sebak

Amir Affendi (kanan) bersama abang (tengah) dan adik bongsunya.- Foto Amir Affendi
Amir Affendi (kanan) bersama abang (tengah) dan adik bongsunya.- Foto Amir Affendi
A
A
A

TANJUNG MALIM - Sebaik mendengar pengumuman kerajaan mengenai larangan rentas negeri semasa perayaan Aidilfitri, tiga beradik yang terpisah akibat pandemik Covid-19, melepaskan kerinduan dalam pertemuan singkat selama lima minit di Jalan sempadan Tanjung Malim-Hulu Bernam.

Walaupun hanya lima minit dapat bersua ia sudah cukup bererti buat Amir Affendi Nor Ashaha, 29, bersama adik bongsunya, Nor Syamira Liana, 23, menetap di kampung bersama datuk dan neneknya di Felda Gunung Besout Sungkai Perak manakala abang sulung, Nurul Riduan Nor Ashaha, 36, berada di Shah Alam.

Katanya, tahun ini adalah tahun kedua mereka tidak dapat menyambut Hari Raya bersama ahli keluarga tersayang.

"Disebabkan tak boleh rentas negeri untuk menyambut Raya tahun ini, kami mengambil keputusan untuk bertemu Along di sempadan sahaja sambil membawa kuih bahulu sebagai tanda peringatan.

"Kami dapat bertemu sekejap sahaja dalam lima minit selepas dibenarkan oleh anggota polis. Walau sekejap ia cukup bermakna buat kami yang terlalu merindui mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Anak ketiga dari empat beradik ini bagaimanapun tidak menyangka video dirakam durasi satu minit 29 saat pada 3 Mac dimuat naik di Twitter tular di laman sosial.

Lebih sayu video diiringi lagu Raya 'Pulanglah' dinyanyikan oleh Aishah pastinya membuatkan sesiapa sahaja yang menonton menangis kerana merindui ahli keluarga yang jauh di mata.

Ditambah pula melihat mereka berpelukan dan bersalaman antara satu sama.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak sangka video ini boleh tular kerana niat untuk simpan buat kenangan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ini kerana hampir semua ahli keluarga menetap di luar Perak dan sudah dua tahun tak dapat beraya bersama," ujarnya.

Dalam pada itu, Amir Affendi juga mendoakan agar pandemik Covid-19 kembali pulih agar rakyat negara dapat menjalani aktiviti harian seperti biasa dan boleh bersama keluarga pada setiap perayaan.

Dia juga menasihatkan kepada orang ramai yang berpeluang merentas negeri supaya menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP).

"Ini kerana ramai yang akan terkesan jika ada jangkitan berlaku dalam masyarakat setempat akibat gagal menjaga SOP," tambahnya.

Pada Isnin, Amir Affendi menciap, "Disebabkan tak boleh rentas negeri raya tahun ni, dapat jumpa along dengan Rizqi dekat sempadan Tanjung Malim-Hulu Bernam ja... Sungai memisahkan kami sekeluarga. Jadi la dapat jumpa lima minit atas jambatan Tanjung malim. Salam rindu buat keluarga semua" telah menarik perhatian warganet.

Sehingga kini video itu ditonton 47,100 tontonan dengan lebih 1,441 tanda suka dari warganet.