Bazar Ramadan, Aidilfitri: MBSA tunggu arahan kerajaan Selangor

MBSA
MBSA
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) masih menunggu arahan daripada kerajaan Selangor mengenai kedudukan bazar Ramadan dan Aidilfitri susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di negeri itu, termasuk kawasan seliaannya, mulai esok.

Pemangku Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata, pihaknya bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat sekiranya bazar terbabit dibenarkan terus beroperasi.

“Kita (MBSA) telah menambah anggota di kawasan ramai pengunjung terutamanya di pusat bandar Shah Alam dan Seksyen 7,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Kempen Keselamatan Jalan Raya kepada Penghantar Makanan Bermotosikal Sempena Musim Perayaan Aidilfitri 2021, di sini pada Rabu.

Berhubung kempen keselamatan jalan raya yang melibatkan golongan penghantar makanan bermotosikal tersebut, Mohd Rashidi berkata, kempen itu merupakan inisiatif pihaknya bagi memberi pendedahan sekali gus meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat khususnya penunggang motosikal.

Kempen tersebut turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor, katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: