X

Kindly register in order to view this article
!

Mekanik ditahan miliki kenderaan curi

Dua lori yang dirampas daripada suspek pada sidang akhbar di IPD Manjung, Lumut pada Rabu.
A
A

LUMUT - Seorang mekanik ditahan dipercayai menggunakan alat ganti kenderaan curi bagi membaiki kenderaan di sebuah rumah di Changkat Keruing, Ayer Tawar, di sini.

Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, polis merampas empat motosikal dan dua lori yang dianggarkan bernilai RM50,000 disyaki dicuri.

"Pemeriksaan mendapati nombor casis kenderaan berkenaan diganggu dan semakan mendapati tiga motosikal itu dilaporkan hilang di Pantai Remis, Sitiawan dan Dang Wangi, Kuala Lumpur.

"Kita percaya bahagian kenderaan itu dileraikan untuk mendapatkan alat ganti," katanya pada sidang akhbar di IPD Manjung, di sini pada Rabu.

Serbuan pasukan polis di sebuah rumah di Changkat Keruing, Ayer Tawar, Lumut pada Jumaat lalu turut menemukan 106 kabel elektrik dipercayai dicuri.
Serbuan pasukan polis di sebuah rumah di Changkat Keruing, Ayer Tawar, Lumut pada Jumaat lalu turut menemukan 106 kabel elektrik dipercayai dicuri.

Menurutnya, suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak lebih setahun yang lalu dengan membuka bengkel bersebelahan dengan rumahnya.

"Pembabitan individu dalam kegiatan ini juga dipercayai lebih daripada seorang. Individu yang mencuri serta membawa kenderaan itu adalah individu berbeza.

"Berdasarkan keterangan, suspek mendakwa kenderaan itu dihantar oleh seorang lelaki dan dia tidak tahu jika ia adalah kenderaan curi. Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan," katanya.

Nor Omar berkata, polis turut menemui 106 kabel elektrik yang dipercayai dicuri di kawasan bengkel.

"Bagaimanapun kita akan mendapatkan pengesahan dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkaitan penemuan kabel itu.

“Tiada sebarang peralatan yang dirampas dalam serbuan itu dan kita tidak menolak kemungkinan ia disembunyikan di tempat lain,” katanya.

Jelasnya, reman suspek yang bermula Sabtu lalu telah disambung sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan.

Nor Omar (dua dari kanan) menunjukkan motosikal yang dilaporkan dicuri di Pantai Remis, Sitiawan dan Kuala Lumpur berjaya ditemui dalam serbuan sebuah rumah di Ayer Tawar Lumut pada Jumaat lalu.
Nor Omar (dua dari kanan) menunjukkan motosikal yang dilaporkan dicuri di Pantai Remis, Sitiawan dan Kuala Lumpur berjaya ditemui dalam serbuan sebuah rumah di Ayer Tawar Lumut pada Jumaat lalu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!