X

Kindly register in order to view this article
!

LZS sasar RM150 juta kutipan zakat sepanjang Ramadan

Setiausaha MAIS, Dr. Ahmad Shahir Makhtar (dua kiri), Abdul Aziz (empat kanan), Saipolyazan bersama 24 buah syarikat di Selangor dalam Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam pada Selasa.
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan jumlah kutipan zakat sekitar RM150 juta pada sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusof berkata, pihaknya menyasarkan sekitar RM117 juta bagi kutipan zakat harta dan perniagaan, manakala kutipan zakat fitrah pula RM31 juta.

Menurutnya, sebanyak RM178 juta zakat perniagaan daripada jumlah RM913 juta kutipan zakat pada tahun lalu berjaya dikutip di Selangor.

“Selangor mempunyai ribuan entiti perniagaan, sama ada bersifat perniagaan persendirian, syarikat perkongsian, koperasi dan sebagainya.

“Maka, LZS sentiasa menyasarkan untuk berlakunya peningkatan kutipan zakat perniagaan setiap tahun, sesuai dengan potensi besar yang wujud di negeri ini.

“Sasaran kutipan zakat ini menjadi penanda aras untuk kami berusaha keras memastikan keperluan agihan dipenuhi agar dapat menyantuni kehidupan asnaf sepanjang Ramadan dan bulan-bulan akan datang,” katanya di Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan di Mardhiyyah Hotel & Suites, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, majlis tersebut turut menyaksikan serahan zakat perniagaan daripada 24 buah syarikat di Selangor dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM7.7 juta.

Selain itu, dua pelajar asnaf iaitu Hasbe Zuliyana Hasbe Zuzaini menerima bantuan dermasiswa pengajian tinggi berjumlah RM14,000 bagi menyambung pengajian di Universiti Tenaga Nasional dan Asma`Abdul Muthalib menerima bantuan zakat berjumlah RM10,007 bagi menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia.

Dalam majlis sama, aplikasi Zakat Selangor turut dilancarkan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bagi memudahkan pengguna untuk membayar zakat dalam talian dan pelbagai fungsi lain.

Saipolyazan berkata, aplikasi tersebut dilengkapi dengan kalkulator zakat yang memudahkan pengguna membuat pengiraan dan bayaran semua jenis zakat (harta dan fitrah) dalam talian serta menyemak rekod penyata bayaran.

Tambahnya, pengguna turut boleh menyemak rekod bantuan zakat, mengemas kini profil peribadi dan mendapat maklumat terkini berkaitan operasi LZS pada bila-bila masa.

"Ini antara inisiatif pihak LZS untuk meningkatkan kutipan zakat, selain daripada langkah persediaan menghadapi saat sukar seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyukarkan masyarakat untuk keluar membayar zakat.

“Para pengguna boleh memuat turun aplikasi Zakat Selangor secara percuma di Google Play Store untuk versi android dan Apple App Store untuk versi iOS," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!