Cuti pegawai dan anggota polis Kuantan dibekukan

Sekatan jalan raya bermula pada awal pagi Rabu di Tanah Putih, Kuantan susulan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 18 Mei ini.
Sekatan jalan raya bermula pada awal pagi Rabu di Tanah Putih, Kuantan susulan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 18 Mei ini.
A
A
A

KUANTAN - Cuti membabitkan seramai 1,152 pegawai dan anggota polis di daerah ini dibekukan berikutan peningkatan kes Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kekuatan pegawai dan anggota polis mencukupi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Ia melibatkan seramai 75 pegawai kanan polis dan 1,077 anggota pangkat rendah (PRP) yang telah diarahkan bertugas. Pembekuan cuti ini diputuskan berikutan arahan daripada Bukit Aman.

"Namun, kita akan mempertimbangkan cuti sekiranya berlaku kes-kes kecemasan melibatkan pegawai dan anggota mengikut budi bicara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Sementara itu, beliau berkata, bermula jam 12.01 pagi Rabu, polis daerah ini mengadakan sekatan jalan raya di Tanah Putih Baru di sini kerana kawasan terbabit dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 18 Mei depan.

Beliau berkata, polis telah memasang halangan dan kawat duri di empat laluan utama bagi mengawal pergerakan individu di kawasan terbabit.

Katanya, kawalan itu akan dilakukan selama 24 jam membabitkan seramai 30 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kita dimaklumkan bahawa jumlah penduduk di kawasan ini adalah seramai 3,900 orang membabitkan 788 buah rumah. Aktiviti ekonomi seperti kedai runcit dan kedai makan dibenarkan mengikut waktu yang ditetapkan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun berharap tempoh 14 hari itu dapat dipendekkan sekiranya semua pihak memberi kerjasama baik.