JBPM kendali 85 kes kematian Covid-19 sejak tahun lalu

Jainal (dua dari kanan) meluangkan masa memeriksa jentera yang ada di Balai Bomba Tunjong, di Kota Bharu pada Rabu.
Jainal (dua dari kanan) meluangkan masa memeriksa jentera yang ada di Balai Bomba Tunjong, di Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan telah mengendalikan 85 kes pengebumian melibatkan pesakit Covid-19 sejak Mac tahun lalu.

Pengarahnya, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Jainal @ Zainal Madasin berkata, untuk tahun lepas, hanya 12 kes pengebumian dilaksanakan mereka berbanding selebihnya tahun ini.

“Peningkatan berlaku untuk tahun ini dan sehingga Selasa, kita telah membantu menguruskan pengebumian ini melibatkan 73 kes.

“Kes pengebumian yang paling tinggi dicatatkan ialah di Kota Bharu iaitu 36 kes, Pasir Mas (11), Tumpat (11) Kuala Krai (tujuh) dan beberapa kes di daerah lain lagi.

“Urusan pengebumian dilakukan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) yang berpusat di Kota Bharu dan dibantu dengan anggota-anggota balai daerah terlibat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat JBPM Kelantan di Tunjong di sini pada Rabu.

Beliau hadir menyampaikan sumbangan kurma sebanyak 180 kotak daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Muhyidin Yassin kepada anggota bomba di negeri ini.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan, sejak Mac tahun lalu, pihaknya telah melakukan 1,672 sanitasi melibatkan bangunan-bangunan kerajaan, premis dan lokasi-lokasi tumpuan orang ramai.

Menurutnya, 284 sanitasi juga dilakukan melibatkan tiga minggu terakhir sejak kebelakangan ini memandangkan jumlah jangkitan dan kes baharu Covid-19 meningkat di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ketika ditanya mengenai jumlah keanggotaan untuk musim perayaan kali ini, Jainal berkata, 20 peratus daripada anggotanya dibekukan cuti sebagaimana diputuskan di peringkat pusat.

Malah katanya, walaupun berdepan musim perayaan, namun mereka tetap bersedia setiap masa untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang awam.

“Kami tetap akan melakukan rondaan melibatkan kawasan-kawasan utama jalan persekutuan dan Lebuh Raya Timur Barat. Walaupun dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun rondaan tetap dijalankan sebaik mungkin untuk persediaan sebarang kejadian kecemasan dan kemalangan,” katanya.