Pemuda UMNO gesa buka kertas siasatan amalan lompat parti

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Pergerakan Pemuda UMNO menggesa agar kertas siasatan dakwaan rasuah dalam amalan lompat parti dibuka segera susulan pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Menurut Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pemuda UMNO seluruh Malaysia telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut termasuk isu campur tangan dalam institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan politik.

Katanya, dakwaan tersebut amat serius kerana dibuat oleh bekas kepimpinan tertinggi agensi keselamatan negara.

“Dakwaan ini turut melibatkan aspek integriti kepimpinan kerajaan dan kedaulatan negara,” kata Asyraf dalam satu kenyataan di Facebook miliknya pada Rabu.

Asyraf berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu terlibat sama untuk menyiasat dan memanggil Abdul Hamid untuk beri keterangan.

“Kami mahu kertas siasatan dibuka segera untuk menyelamatkan negara daripada terpalit dengan imej kebankrapan integriti sehingga jejas keyakinan rakyat dan kepercayaan pelabur,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Abdul Hamid dalam satu sidang media mendakwa terdapat campur tangan politik menguasai pelantikan dalam hierarki pasukan polis.

Selain itu juga, beliau turut mengesahkan berlakunya tawar-menawar untuk ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta sekali gus membuktikan terdapat rasuah politik.

Artikel Berkaitan: