Pendirian Pas mengelirukan, nak kucar-kacirkan PH?

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pendirian Pas yang bekerjasama dengan UMNO dan dalam masa menyatakan sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agak mengelirukan.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, ini kerana akar umbi Pas sudah boleh menerima kerjasama parti itu dengan UMNO yang ditunjukkan dalam beberapa PRK.

Namun, katanya, ia dikejutkan dengan kenyataan Pas bahawa parti itu turut menyokong pentadbiran Dr Mahathir.

"Kita pun tak pasti tujuan Pas jumpa dengan Dr Mahathir sama ada untuk survival pemimpin mereka atau sebaliknya. Sebab kalau kita tengok akar umbi ni dah terima kerjasama Pas-Umno.

"Apabila pemimpin Pas jumpa Dr Mahathir, ia jadi sebaliknya. Kalau pemimpin flip flop, ia akan jejaskan keharmonian dan kerjasama dibentuk," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Rusdi, Pas sepatutnya menunjukkan pendirian yang lebih konsisten.

"Pemimpin Pas kena berpijak pada bumi yang nyata.Kalau nak dengan UMNO tunjukkan kepada akar umbi

"Kita boleh lihat nanti kalau BN menang di Semenyih, BN akan teruskan kerjasama dengan Pas. Tapi kalau BN kalah,hubungan dengan Pas akan renggang disebabkan pendirian Pas yang tak konsisten ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau dalam pada itu tidak menolak kemungkinan tujuan Pas berjumpa Dr Mahathir adlaah untuk mengkucar-kacirkan PH.

"Kalau betul Pas nak kerjasama dengan PH, mereka bukan hanya perlu jumpa Tun Mahathir. Sebaliknya mereka kena buat perjumpaan dengan Majlis Presiden PH.

"Bila jumpa dengan Dr Mahathir saja ia sedikit meragukan dan sudah tentu pengikut Datuk Seri Anwar Ibrahim tak duduk diam.Tapi ini mungkin pendekatan Pas nak kucar-kacirkan PH," katanya.