Manchester City luar biasa

Mahrez muncul wira City dengan meledak dua gol dalam aksi timbal balik di Stadium Etihad pada awal pagi Rabu.
Mahrez muncul wira City dengan meledak dua gol dalam aksi timbal balik di Stadium Etihad pada awal pagi Rabu.
A
A
A

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola menghamburkan pujian kepada para pemainnya selepas mencipta sejarah buat pertama kali mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara selepas menewaskan Paris Saint Germain (PSG) 4-1 secara agregat dalam aksi separuh akhir kedua pada awal pagi Rabu.

Menurut Guardiola, dia menyifatkan City sebagai pasukan luar biasa selepas kejayaan mara ke perlawanan akhir itu sekali gus membuka peluang untuk meraih kejuaraan treble musim ini.

City sebelum ini telah meraih kejuaraan Piala Liga Inggeris dan berpeluang untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara.

"Kami menewaskan pasukan PSG yang telah menyingkirkan Barcelona dan Bayern Munich. Kami sempat menghadapi kesukaran di awal perlawanan tetapi kami bangkit dengan persembahan lebih baik pada separuh masa kedua.

"Pencapaian pasukan setakat ini sangat luar biasa dan ia kemenangan besar buat kami. Musim ini merupakan tahun terberat buat semua pasukan yang bergelut untuk mendapatkan keputusan baik.

"Kami membuktikan keupayaan dengan kejuaraan EPL dan Liga Juara-Juara yang sudah semakin hampir untuk kami gapai," katanya.

Dalam perlawanan di Stadium Etihad itu, Riyad Mahrez meledak dua gol untuk kemenangan 2-0 City selepas cemerlang pada aksi timbal balik pertama dengan menewaskan PSG 2-1 sekali gus selangkah untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara.

Bagi City, kejayaan mara ke perlawanan akhir ini adalah kali pertama dalam sejarah kelab dengan kali terakhir mereka muncul juara di peringkat Eropah ketika memenangi Piala Winners pada musim 1969/1970.

Artikel Berkaitan:

Malah, City juga berpeluang besar untuk menjadi juara EPL sekiranya dapat menewaskan Chelsea dalam perlawanan di Etihad pada Ahad ini.

Dalam pada itu, Guardiola menjelaskan dia akan melakukan persiapan awal untuk mengharungi perlawanan akhir tersebut dengan suasana yang sangat berbeza berbanding dengan apa yang telah dilalui ketika memenangi kejuaraan itu bersama Barcelona pada musim 2008/2009 dan 2010/2011.

"Siapa pun yang akan kami jumpa pada perlawanan akhir nanti, ia bukan perlawanan mudah dan sangat berbeza daripada apa yang pernah saya lalui. Kami mempunyai beberapa minggu untuk membuat persiapan," katanya.