Tukang jahit kembali terima tempahan baju raya

Norsitah sibuk menyiapkan tempahan baju raya pelanggan sempena sambutan Aidilfitri di rumahnya di Sembulan.
Norsitah sibuk menyiapkan tempahan baju raya pelanggan sempena sambutan Aidilfitri di rumahnya di Sembulan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kata orang rezeki tidak pernah salah alamat. Mungkin itulah yang dinikmati seorang tukang jahit Agnes @ Norsitah Samuel, 56, yang mengusahakan kedai jahit di Sembulan dekat sini.

Dia yang juga bekas pegawai bank masih tetap menerima tempahan baju raya meskipun sektor itu turut terjejas oleh penularan pandemik Covid-19 di samping trend semasa pembelian baju siap dipakai yang kini boleh dibeli secara dalam talian.

Di sebalik cabaran getir yang dibawa oleh Covid-19, usahawan wanita dari Tambunan itu bertekad memastikan perniagaan yang diusahakannya sejak 20 tahun lepas terus bertahan.

“Alhamdulillah, saya menerima tempahan kira-kira 100 pasang baju raya pada tahun ini. Malah, ada tempahan terpaksa ditolak kerana saya tidak mahu menerimanya pada saat-saat akhir. Saya mula mengambil tempahan untuk menjahit baju raya pada awal Februari lepas.

“Saya bersyukur kerana pelanggan masih memberi kepercayaan kepada saya untuk menjahit pakaian hari raya mereka. Walaupun tempahan diterima tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, sekurang-kurangnya lebih bagus berbanding tahun lepas,” katanya kepada Bernama.

Norsitah berkata, dia menutup tempahan baju raya lebih awal iaitu dua minggu sebelum Ramadan dan kini menyingsing lengan menyiapkan semua tempahan berkenaan, dibantu oleh tiga pekerja.

“Dulu pernah ada pelanggan tempah saat-saat akhir dan saya perlu siapkan dalam tempoh 24 jam sebelum menghantarnya pada pagi raya. Sekarang, saya elakkan (terima tempahan saat-saat akhir),” katanya yang sangat mementingkan kualiti dalam setiap baju yang disiapkannya bagi memberi kepuasan kepada pelanggan.

Norsitah berkata upah yang dikenakan untuk sepasang baju kurung ialah antara RM50 dan RM120, manakala bagi busana pengantin, kadar yang dikenakan ialah RM350 hingga RM380 selain turut menjahit pakaian seragam jururawat.

Artikel Berkaitan:

Mengulas perniagaannya pada tahun lepas, Norsitah berkata, pendapatannya merudum hampir 70 peratus apabila hanya menerima tempahan 40 pasang baju raya selain tempahan untuk menjahit busana pengantin juga berkurangan.

“Selain itu, saya juga mengambil langkah berwaspada dengan mengehadkan pelanggan yang datang ke kedai jahit saya kerana khuatir dengan risiko penularan jangkitan Covid-19,” katanya yang turut berharap kerajaan lebih proaktif membantu memudahkan tukang jahit mendapatkan setiap bantuan disediakan.

Sebagai perancangan masa depan, Norsitah bercadang membuka akademi jahitan bagi berkongsi ilmu, pengalaman dan kemahiran dengan lebih ramai individu yang berminat menjadikan bidang itu sebagai sumber pendapatan. - Bernama