Bersama jayakan World #QuranHour di Masjid Seri Sendayan

Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Negeri Sembilan turut menyokong program World #QuranHour.
Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Negeri Sembilan turut menyokong program World #QuranHour.
A
A
A

SEREMBAN - Bagi mengimarahkan lagi bulan Ramadan, masyarakat di negeri ini diminta untuk bersama-sama menjayakan program World#QuranHour yang akan berlangsung pada Khamis, 6 Mei di lokasi utama Masjid Seri Sendayan.

World #QuranHour edisi ke enam ini akan berlangsung serentak seluruh dunia pada 24 Ramadan, dengan membawa misi Surah Al-Mulk (67:1-30). Surah yang juga disebut sebagai At Tabaarak bermakna Maha Suci.

Melalui program itu, semua pihak terlibat di seluruh dunia akan menghentikan aktiviti lain dan membaca al-Quran serta memahaminya melalui tadabbur selama sejam, bermula 12 tengah hari hingga 1 petang pada hari berkenaan.

Pengasas Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim berkata, jika tahun lalu tiada sebarang perhimpunan atau majlis bacaan al-Quran secara bersemuka, akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi pada tahun ini World #QuranHour kembali bertemu masyarakat di semua 'hotspot' terlibat seluruh Negeri Sembilan.

"Alhamdulillah, pada tahun ini kita mempunyai lebih 120 hotspot yang terdiri daripada seluruh masjid, sekolah, universiti, agensi swasta dan kerajaan, perpustakaan seluruh negeri, Rumah Ngaji Negeri Sembilan serta lain-lain organisasi.

"Seluruh masyarakat umat Islam diajak bersama-sama menjayakan kempen #QuranHour ini walau di mana berada, samada di rumah, ruang pejabat, hospital, atau di mana sahaja yang sesuai," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Tambah Gharizah, semua peserta yang menyertai acara ini di masjid utama dan tempat-tempat lain diingatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

"Pada tahun ini kita sasarkan penyertaan antara 550 sahaja, yang terlibat di lokasi hotspot, tidak termasuk mereka yang melakukan sendiri di rumah, boleh jadi lebih ramai akan bersama kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Surah Al Mulk merupakan satu surah dalam al- Quran, sekiranya ia diamalkan, maka orang yang membacanya, lebih-lebih lagi mereka yang dapat menghafaznya, akan terlepas daripada azab kubur.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Al-Quran mengandungi satu surah terdiri daripada tiga puluh ayat yang akan mensyafaati pembacanya sehingga dia diampunkan iaitu Tabarakallazi biyadihil Mulk.” (Riwayat Abu Dawud, Ahmad, at-Tirmizi, Riyadh as-Salihin oleh Imam Ahmad)