Rakyat patuhlah SOP, jangan degil!

Dr Izani Husin
Dr Izani Husin
A
A
A

KOTA BHARU - Rakyat negeri ini diminta terus patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutamanya melibatkan urusan seperti akad nikah dan sebagainya.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata, ini kerana pihaknya bimbang kegagalan mematuhi SOP di majlis berkenaan boleh mendatangkan kemudaratan sehingga menyebabkan penularan kes-kes baharu Covid-19 di negeri ini.

"Memang hari raya kebanyakannya secara tradisi kita akan buat kenduri perkahwinan dan sebagainya. Namun kita sekarang dalam PKP, kerajaan juga bimbang jika rakyat tidak ikut SOP, masalah lain akan timbul.

"Tengok ketetapan yang sudah dikeluarkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN). Kita tidak mahu wujud kes-kes baharu yang dicipta dari kenduri atau majlis-majlis perkahwinan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, satu garis panduan khas telah dikongsikan pihak MKN Kelantan melalui laman sosial facebook rasmi badan itu bagi memudahkan orang ramai untuk memahami dengan jelas apa yang boleh dilaksanakan dalam tempoh PKP.

Selain itu, katanya, garis panduan tersebut amat penting untuk memandu arah masyarakat dalam pelbagai aspek terutamanya melibatkan sektor ekonomi dan keagamaan.

"Saya tengok rakyat semakin lalai dalam mematuhi SOP ini, pakai pelitup muka pun bila perlu saja. Pergi beli makanan pun tiada penjarakan, pendek kata mereka bagaikan tidak takut dengan keadaan semasa.

"Saya merayu, patuhilah SOP, pakailah pelitup muka, disiplinkan diri. Kesian kepada petugas barisan hadapan, tunjukkan sikap kerjasama kita, keprihatinan kita. Bukan untuk orang lain, tapi untuk keselamatan kita sendiri," katanya.

Artikel Berkaitan: