Siapa kata rakyat Malaysia takut vaksin?

No Image Caption
A
A
A

LICIN dan laris, macam pisang goreng panas! Begitulah dahsyatnya penangan vaksin AstraZeneca yang dibuka secara sukarela kepada warga Lembah Klang pada Ahad lepas.

Bayangkan tak sampai 4 jam, 268,800 dos vaksin tersebut habis ditempah penduduk berusia 18 tahun ke atas di Selangor dan Kuala Lumpur.

Merak Jalanan nak ucapakan tahniah kepada seluruh sukarelawan tersebut yang dengan berani dan tanpa ragu-ragu menjalankan tanggungjawab untuk mengambil suntikan vaksin.

Merak Jalanan yakin pak menteri pun terkejut dengan sambutan hebat rakyat Malaysia terhadap vaksin AstraZeneca.

Manakan tidak, punyalah ramai orang mahu berdaftar sampaikan sistem permohonan mengalami masalah kesesakan trafik luar biasa. Jadi siapa kata rakyat Malaysia takut divaksin?

Walaupun dikhabarkan pendaftaran vaksin melalui MySejahtera agak perlahan, tapi lihatlah kalau dah vaksin di depan mata, berlumba-lumba orang mahu mengambil suntikan.

Itu baru vaksin AstraZeneca, vaksin yang terpalit dengan pelbagai berita kurang enak terutamanya tentang risiko darah beku.

Ramai juga yang pada awalnya skeptikal dengan vaksin dari United Kingdom itu sehingga menganggap sesiapa yang mahu mengambil suntikan itu sebagai bahan ujian atau tikus makmal.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun hakikatnya, kesan sampingan kes darah beku tersebut kalau mengikut Medical and Healthcare Regulatory Agency hanyalah empat kes dalam sejuta atau 0.0004 peratus.

Namun, sebagaimana kerajaan memutuskan suntikan AstraZeneca ini diambil secara sukarela bukan atas paksaan, bagi Merak Jalanan sesiapa yang tak yakin dengan vaksin itu tidak perlulah jadi tukang cucuk sebarkan berita bukan-bukan.

Kita kena doakan apa jua jenis vaksin yang diambil, semua penerimanya selamat.