Mengenang kad raya

A
A
A

PECAH kaca, Pecah gelas;

Sudah baca, Harap balas.

Sebelum munculnya teknologi SMS, penyeri utama Aidilfitri selain pelita, panjut, mercun dan bunga api adalah kad ucapan selamat hari raya. Malah, dalam keadaan tertentu, kad raya lebih penting daripada semua yang lain. Bagi mereka yang dilamun cinta misalnya, tidak dapat pakai baju raya atau tidak dapat pulang ke kampung pun tak mengapa asalkan dapat kad raya daripada orang tersayang.

Tidak ada sejarah bertulis yang menunjukkan bila tradisi menghantar kad ucapan selamat hari raya bermula. Tetapi ada menunjukkan kad-kad ucapan itu telah muncul sejak sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua.

Ia semakin berkembang subur selepas perang dan mencapai kemuncaknya pada tahun 1970-an dan 1980-an apabila teknologi percetakan semakin berkembang, lebih mudah diakses dan lebih murah pula kosnya.

Lupakan sejarahnya. Apa yang pasti, bagi kebanyakan orang menerima kad raya merupakan satu perkara istimewa. Ia lebih daripada sekadar simbol ingatan tetapi juga satu percikan keistimewaan. Sebab itulah lebih banyak kad yang diterima secara automatik akan menyebabkan diri terasa lebih berbangga.

Dalam kalangan kanak-kanak dan mereka pada awal usia remaja, kad itu boleh ditayang kepada kawan-kawan. Boleh dibawa bersembang dari pagi sehingga ke petang, malah mungkin melalut sampai ke malam. Asal buka mulut, tiada lain yang keluar, tajuknya tentang kad raya semata-mata.

Disebabkan itu juga ada perlumbaan untuk menunjukkan siapa yang lebih banyak mendapat kad raya. Dalam proses itu jangan terkejut jika ada ‘makhluk’ yang semua kad raya yang diterimanya mempunyai tulisan yang serupa pada sampul. Sebabnya, kad itu dia beli sendiri, tulis sendiri, kemudian pos kepada diri sendiri. Banyak kes seperti itu yang saya jumpa.

Artikel Berkaitan:

Kad-kad yang diterima selalunya dijadikan hiasan rumah sempena Aidilfitri. Ia biasanya digantung pada tali yang direntang atau disangkut pada ranting-ranting mati yang diletak di ruang tamu. Kalau diletak di dalam bilik, tentulah tetamu tidak dapat melihatnya, jadi sedikit sebanyak terjejaslah ‘populariti’ tuan punya kad atau keluarga berkenaan.

Tetapi sekali lagi, jangan terkejut jika kad-kad yang digantung itu sebenarnya jenis yang dibeli sendiri, digantung sendiri!

Corak menarik

Menariknya kad raya adalah pada bentuk, corak dan saiznya yang berbagai-bagai. Yang biasa-biasa dan selalunya paling murah adalah yang bersaiz poskad. Sekeping sahaja, di depan gambar, di belakang ruang untuk mencatatkan ucapan. Imej hiasannya pula mungkin berbentuk foto, ilustrasi, kartun atau sekadar reka corak grafik. Imej yang paling popular pula tentulah masjid, diikuti ketupat, bunga, pemandangan, budak bermain bunga api dan sebagainya.

Kad-kad murah ini selalunya dihantar kepada kenalan, kawan rakan atau saudara-mara yang tidak begitu akrab. Jangan sekali-kali hantar kepada buah hati, takut nanti dia merajuk berhari-hari sebab merasakan dirinya tidak dihargai.

Untuk insan istimewa berstatus buah hati, kadnya juga harus istimewa. Kertasnya daripada jenis yang mahal, hiasannya cantik, grafiknya menarik, ada muzik malah saiznya juga kadangkala luar biasa. Ada yang besarnya macam sampul geran tanah zaman dahulu.

Sudahlah begitu, kad-kad tersebut juga kebanyakannya menggunakan kaedah die-cut, yakni ada bahagian-bahagiannya dipotong mengikut corak dan bentuk tertentu; misalnya bentuk hati atau bunga-bungaan.

Kad yang paling istimewa dalam kategori ini adalah yang bermuzik. Selak sahaja kad, berbunyilah melodi lagu Selamat Hari Raya. Bau kad pula lazimnya harum semerbak. Tidak tahulah kertas apa yang digunakan atau berapa lama ia direndam dalam minyak wangi. Yang nyata bau kad itu kadangkala lebih wangi daripada bau pengirimnya.Tidak semua kad untuk kekasih bersaiz besar gedebak. Ada juga yang bersaiz biasa. Namun dari segi kualiti kertas, reka bentuk, imej dan sebagainya ia tetap berbeza daripada kad-kad biasa. Demikian jugalah dengan harganya.

Selain itu terdapat kad yang dikhususkan kepada isteri, ibu bapa, kekanda adinda, guru dan sebagainya. Setiap kad itu mempunyai kata-kata ucapan yang sesuai dengan pihak yang disasarkan.

Kalau kad dengan kata-kata, “Pada hari yang mulia ini anakanda mohonkan jutaan keampunan,” maka kad itu tentulah sesuai dikirim kepada ibu bapa dan jangan sekali-kali dihantar kepada kawan sebab ada kemungkinan anda akan menjadi bahan ketawa untuk tempoh yang lama.

Memilih kata-kata ucapan pada kad sebelum membelinya juga merupakan satu keseronokan. Ada kata-kata yang ringkas dan sesuai untuk semua keadaan, tetapi ada juga yang halus, puitis dan bersasar dalam bentuk pantun, sajak, anekdot dan seumpamanya.

Ada yang sesuai untuk orang yang sedang asyik mahsyuk di alam percintaan, ada yang khusus untuk yang baru patah hati dan tidak kurang juga untuk orang yang baru mencuba nasib atau dengan bahasa mudahnya sedang hendak mengorat.

Namun apa pun, ayat yang paling lazim selalunya ialah ‘hanya kad pengganti diri’ dan ‘kususun sepuluh jari’.

Tidak semua orang membeli kad raya. Ada yang membuatnya sendiri. Mereka ini sesungguhnya beruntung kerana mereka boleh menulis apa sahaja yang mereka suka. Tidak perlu ‘meminjam’ kata-kata orang lain untuk berkongsi rasa.

Anak-anak dan adik-adik zaman sekarang yang mungkin tidak pernah melihat kad raya mungkin tertanya-tanya di mana kad itu boleh dibeli?

Tumpuan penjual

Pada masa dahulu ia dijual di mana-mana, biasanya sebaik sahaja masuk hari ketiga atau keempat Ramadan. Tempat tumpuan utama penjualnya adalah pasar malam, kaki lima kedai, ruang legar kompleks, di kedai buku, kedai runcit, pasar mini dan di mana-mana juga kawasan yang menjadi tumpuan umum.

Di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, gerai-gerai menjual kad raya berderetan dan menjadi tumpuan hingga ke larut malam.

Membeli kad raya juga memberikan kita satu bentuk kepuasan tersendiri. Lagi banyak dibeli terasa lagi seronok. Tetapi banyak juga kes, beli kad banyak-banyak tetapi disebabkan malas nak tulis, akhirnya yang dipos cuma satu dua keping.

Selebihnya simpan dalam laci. Tahun depan beli lagi. Bagi kalangan yang mampu, mereka mencetak kad raya mereka sendiri. Lengkap dengan gambar dan nama ahli-ahli keluarga.

Kad seperti ini bagaimanapun jarang dibuat oleh mereka yang beristeri lebih daripada satu. Bukan apa, takut letak gambar dengan yang ini, yang itu terasa dan letak yang itu pula yang ini terasa. Hendak letak kedua-duanya sekali takut terpaksa beraya seorang diri sebab sana tutup pintu, sini tutup pagar! Kad raya perlahan-lahan hilang glamour menjelang pertengahan 1990-an apabila ia secara perlahan-lahan juga dibunuh oleh teknologi. Bermula dengan ucapan menerusi emel, disusuli oleh SMS dan seterusnya oleh WhatsApp dan kini oleh pelbagai medium dan platform. Ia menjadi lebih ringkas dan mudah. Ia juga menjimatkan kos.

Anda boleh menghantarnya kepada seberapa ramai orang yang anda mahu tanpa perlu memikirkan tentang harga kad dan harga setem. Tetapi bagaimana dari segi nilai kejiwaannya? Kad-kad virtual itu bagaikan jasad tanpa roh. Kita tidak lagi berasa ghairah menerimanya.

Dengan teknologi, kita biarkan satu lagi tradisi mati. Apa lagi selepas ini? #dush!

Untuk insan istimewa berstatus buah hati, kadnya juga harus istimewa. Kertasnya daripada jenis yang mahal, hiasannya cantik, grafiknya menarik, ada muzik malah saiznya juga kadangkala luar biasa. Ada yang besarnya macam sampul geran tanah zaman dahulu.

* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia