Singapura kembali ke fasa 2 pembukaan, perketat kemasukan di sempadan

No Image Caption
A
A
A

SINGAPURA - Singapura akan kembali ke fasa dua pembukaan semula kegiatan ekonomi dan sosial bermula 8 hingga 30 Mei.

Singapura kini berada di fasa tiga dari 28 Disember 2020.

Di bawah fasa dua, republik ini akan memperketat syarat kemasukan di sempadan mulai 7 Mei, jam 11:59 malam untuk semua pelancong yang baru tiba dari negara atau wilayah berisiko tinggi.

Perkara itu diumumkan Pasukan Pelbagai Kementerian (MTF) Covid-19 pada sidang media maya di sini pada Selasa.

Pengerusi bersama MTF, Lawrence Wong berkata, beberapa negara terus mengalami lonjakan semula kes dan kemunculan varian baharu virus juga telah dikesan di Singapura.

Lawrence berkata, jumlah kes tempatan dan komuniti juga terus meningkat, menandakan penularan kes boleh meningkat jika tidak dibendung.

"Kami akan mengambil langkah tegas untuk membendung jangkitan Covid-19 di Singapura," kata Lawrence yang juga Menteri Pendidikan.

Selain memperketat syarat kemasukan di sempadan, republik itu juga akan mengurangkan kebenaran masuk kepada warga asing dan penduduk tidak tetap.

Artikel Berkaitan:

MTF juga akan melanjutkan sejarah perjalanan sehingga 21 hari berbanding 14 hari, tetapi tidak termasuk untuk Gelembung Perjalanan Udara dan Laluan Hijau Timbal Balik.

Semakan semula tempoh Notis Duduk di Rumah (SHN) hingga 21 hari berbanding 14 hari juga akan dibuat.

Bagaimanapun, Australia, Brunei Darussalam, China, New Zealand, Taiwan, Hong Kong, dan Macau dikecualikan daripada semakan tersebut.

Mulai 8 Mei, langkah-langkah tambahan akan dikenakan untuk mengurangkan interaksi dalam kalangan masyarakat. Perkumpulan sosial hanya lima orang dibenarkan berbanding lapan sebelum ini.

Sementara itu, majikan mesti memastikan tidak lebih 50 peratus pekerja yang boleh bekerja dari rumah kembali ke tempat kerja.

Buat masa ini, sehingga 75 peratus pekerja yang bekerja dari rumah dibenarkan kembali ke tempat kerja.

Sehingga tengah hari ini, Singapura melaporkan lima kes baharu Covid-19 membabitkan jangkitan tempatan.

Selain itu, terdapat 12 kes import, melibatkan mereka di bawah kategori SHN sebaik tiba di Singapura.

Secara keseluruhan, terdapat 17 kes baharu di Singapura pada Selasa menjadikan jumlah keseluruhan 61,252.

Terdapat 10 kluster setakat ini dengan kes tertinggi berkaitan Kluster 62541, seorang jururawat di Hospital Tan Tock Seng (TTSH). - Bernama