Prestasi di Terbuka Malaysia tingkat keyakinan di Tokyo

Zii Jia selepas menerima suntikan kedua vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi Covid-19 Kementerian Belia dan Sukan di Kompleks Sukan DBKL pada Selasa. - Foto Bernama
Zii Jia selepas menerima suntikan kedua vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi Covid-19 Kementerian Belia dan Sukan di Kompleks Sukan DBKL pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

JAGUH perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia berharap mampu mencipta keputusan yang baik dalam baki dua kejohanan kelayakan Olimpik iaitu Terbuka Malaysia dan Terbuka Singapura, sekali gus meningkatkan keyakinannya di Sukan Olimpik Tokyo.

Pemain berusia 23 tahun dari Kedah itu berkata, kedua-dua kejohanan berkenaan adalah aksi pemanas badan penting sebelum aksi sebenar temasya terbesar dunia pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Zii Jia yang baru menyambung semula latihan pada Jumaat lepas setelah menjalani kuarantin hampir dua minggu susulan 15 kes positif Covid-19 di Akademi Badminton Malaysia (ABM) mengakui masa semakin suntuk bagi mempersiapkan diri ke Terbuka Malaysia pada 25 hingga 30 Mei ini, diikuti Terbuka Singapura pada 1 hingga 6 Jun.

"Hanya tinggal dua minggu lagi, memang masa pun agak suntuk untuk kita, saya cuba apa yang boleh,” katanya selepas menerima suntikan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech di Kompleks Sukan DBKL di sini pada Selasa.

Juara Seluruh England 2021 yang kini menduduki ranking kelapan dunia itu berkata, beliau kini lebih yakin untuk menyertai kejohanan di luar negara selepas melengkapkan suntikan vaksin, bagaimanapun mengakui tetap perlu berhati-hati kerana risiko mendapat jangkitan koronavirus masih ada.

"Apabila kita memasuki gelanggang, kita tidak pakai pelitup muka, jadi sukar untuk mencegah. Apa yang kita boleh buat ialah disiplin diri bagi mengurangkan risiko jangkitan...Kalau kena pun tiada pilihan kerana kita pun tidak tahu siapa yang dijangkiti,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann berkata, semua pihak harus bersedia untuk menangani kejohanan dalam norma baharu dan terus mengambil langkah berjaga-jaga kerana Covid-19 dijangka tidak akan hilang dalam waktu terdekat.

Beliau berkata pihaknya terus meneliti perkembangan dan pemulihan pemain dalam gelanggang sebelum menetapkan sasaran di Terbuka Malaysia dan Terbuka Singapura, walaupun dapat melihat kemahuan dan semangat berada pada tahap yang baik sejak menyambung balik latihan.

Artikel Berkaitan:

Choong Hann berkata buat masa ini, kebanyakan pemain utama dunia telah mendaftarkan nama dan berminat bersaing pada Terbuka Malaysia memandangkan ia antara kejohanan terakhir untuk mengutip mata ke Olimpik.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kehadiran pemain-pemain utama dunia itu juga bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) kejohanan yang bakal dikeluarkan oleh kerajaan dalam masa terdekat.

"Setakat ini, tiada mana-mana negara yang beri gambaran tarik diri. SOP yang bakal dikeluarkan itu, mungkin menjadi penentu mereka datang atau tidak, saya tidak boleh jangka,” katanya.

Beliau berkata selain Zii Jia, antara pemain Malaysia lain yang bakal menyertai kejohanan berstatus Super 750 itu adalah Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, Pearly Tan-M Thinaah, Soniia Cheah dan Goh Liu Ying-Chan Peng Soon.