Program beras percuma, bantu keluarga terputus bekalan beras

Penyelaras Dun Serkam, Muhammad Khomeini Kamal menunjukkan sebahagian bekalan beras percuma yang disediakan di Kompleks Japerun Serkam bagi membantu keluarga yang terputus bekalan beras dalam kawasan terbabit.
Penyelaras Dun Serkam, Muhammad Khomeini Kamal menunjukkan sebahagian bekalan beras percuma yang disediakan di Kompleks Japerun Serkam bagi membantu keluarga yang terputus bekalan beras dalam kawasan terbabit.
A
A
A

JASIN - Program beras percuma anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras (Japerun) Serkam, bertujuan untuk membantu keluarga yang sering berdepan situasi terputus bekalan beras.

Penyelaras DUN Serkam, Muhammad Khomeini Kamal berkata, inisiatif itu diambil ekoran hasil daripada Program Ziarah Peduli Rakyat yang dilakukan pihaknya apabila mendapati ada di antara keluarga dalam DUN berkenaan yang berdepan situasi itu.

Menurutnya, bantuan berkenaan mula diperkenalkan sejak awal bulan ini dan kira-kira 30 wakil keluarga telah tampil untuk mendapatkan bantuan beras percuma di Kompleks Japerun Serkam di sini.

"Kita tetapkan hari Isnin dan Khamis setiap minggu untuk mereka yang terputus bekalan beras dan betul-betul tidak mampu datang mengambilnya.

"Mereka hanya perlu mengisi borang dan daripada itu kakitangan Japerun akan menghantar wakil untuk tindakan lanjut bagi membantu keluarga ini," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Japerun Serkam di sini.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan sekurang-kurangnya 30 kampit beras, lima kilogram dalam seminggu untuk diberikan kepada penduduk yang terputus bekalan beras.

Katanya, sumbangan beras tersebut diperolehi daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan orang ramai.

Sementara itu, seorang pemohon, yang dikenali sebagai Sarah, 37, berkata, dia bersyukur dengan adanya bantuan tersebut dia tidak lagi buntu setiap kali terputus bekalan beras.

Artikel Berkaitan:

Menurut ibu kepada tiga anak yang berusia antara 7 hingga 15 tahun itu, disebabkan kesempitan hidup ditempuhinya dia dan keluarga kerap terputus bekalan makanan khususnya beras.

Katanya, suaminya berusia 38 tahun kini tidak mampu bekerja disebabkan masalah kesihatan yang kronik selain dia kini hanya mengambil upah melipat dodol.

"Sebelum ini jika terputus bekalan makanan saya akan meminta bantuan daripada emak atau adik beradik walaupun segan tetapi demi anak-anak terpaksa juga.

"Dengan bantuan beras percuma ini sekurang-kurangnya mampu untuk menampung sementara menunggu bantuan makanan bulanan daripada MAIM," katanya yang mengetahui mengenai bantuan beras percuma itu seorang rakan.