Itali intai kerjasama keselamatan siber dengan Malaysia

Itali intai untuk menjalinkan kerjasama lebih erat dengan Malaysia dalam keselamatan siber. - Foto 123RF Gambar kecil: Cristiano Maggipinto
Itali intai untuk menjalinkan kerjasama lebih erat dengan Malaysia dalam keselamatan siber. - Foto 123RF Gambar kecil: Cristiano Maggipinto
A
A
A

KUALA LUMPUR - Itali intai untuk menjalinkan kerjasama lebih erat dengan Malaysia dalam keselamatan siber yang kini dilihat semakin penting berikutan pertumbuhan transformasi digital di seluruh dunia akibat pandemik Covid-19.

Duta Itali ke Malaysia, Cristiano Maggipinto menekankan tiga bidang utama yang berpotensi iaitu ialah akademik dan penyelidikan, maritim dan perlindungan infrastruktur kritikal.

“Kami tahu Malaysia adalah negara yang sangat penting dalam keselamatan siber dan berhasrat memulakan kerjasama dengan Malaysia,” katanya dalam temu bual bersama Bernama di sini baru-baru ini.

Maggipinto berkata, kerjasama dalam bidang akademik sedang diusahakan antara Konsortium Interuniversiti Kebangsaan Itali untuk Informasi (CINI) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam penyelidikan dan latihan kepakaran dalam keselamatan siber.

Di bidang maritim, beliau menekankan pentingnya kerjasama dalam keselamatan siber antara kedua-dua negara kerana Selat Melaka, antara laluan dagangan utama di dunia.

"Keselamatan perdagangan maritim sangat penting untuk dunia ini termasuk Itali dan Eropah," katanya.

Mengenai perlindungan infrastruktur kritikal pula, Maggipinto berkata, kepentingan kerjasama terutama dalam sektor telekomunikasi, pengangkutan dan kesihatan.

"Terutamanya ketika pandemik melanda menyebabkan peningkatan dalam bidang teleperubatan, justeru perlindungan sistem maklumat untuk hospital sangat penting,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Maggipinto berkata, Kementerian Luar Itali bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Malaysia pada 13 April telah menganjurkan webinar mengenai kerjasama keselamatan siber antara kedua-dua negara yang turut memberi tumpuan kepada tiga bidang utama berkenaan.

Webinar tersebut turut disertai Timbalan Menteri Luar Itali, Manlio Di Stefano dan Ketua Pegawai Eksekutif NACSA, ​​Mohd Shah Nuri Md Zain.

Susulan webinar itu, sebanyak 19 pertemuan perniagaan antara syarikat Itali dan Malaysia diatur secara dalam talian, yang menurutnya menunjukkan minat kedua-dua negara untuk mengadakan kerjasama.

"Oleh itu, kami berharap ini adalah langkah pertama antara Itali dan Malaysia dalam sektor yang sangat sensitif dan penting ini. Ia juga menunjukkan minat untuk memperluas kerjasama ke pelbagai sektor lain, tidak tertumpu kepada sektor perdagangan tradisi semata-mata," katanya.

Maggipinto berkata, Itali juga tertarik dengan program 5G Malaysia serta penubuhan Makmal Ujian Cybersecurity 5G pertama di rantau ini menjelang 2023.

“Syarikat-syarikat Itali sudah dimaklumkan mengenai program 5G di Malaysia. Berharap dapat melihat syarikat Itali dapat mengambil bahagian dalam program ini, serta menyumbang untuk mewujudkan 5G di Malaysia," kata Maggipinto. - Bernama