X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Hospital medan ATM di Kapit

Foto Bernama
A
A

KAPIT - Dewan Masyarakat Melayu yang terletak kira-kira lima kilometer dari Hospital Kapit akan beroperasi sebagai Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di bahagian itu.

Menurut Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen, Tentera Darat Malaysia, misi hospital berkenaan adalah untuk membantu masyarakat umum mendapatkan rawatan perubatan yang tidak berkaitan Covid-19, sama seperti peranan hospital medan yang ditubuhkan di Tawau, Sabah, sebelum ini.

“Sepasukan pegawai serta anggota Kor Kesihatan Diraja telah digerakkan ke Kapit bagi meninjau keadaan serta elemen perubatan daripada Markas 1 Divisyen dalam minggu ini.

“Kumpulan peninjau telah pun berada di Kapit untuk mengkoordinasikan keperluan penting dalam penubuhan hospital termasuk petugas dan aset perubatan," menurut kenyataan itu hari ini.

Hospital Kapit merupakan hospital daerah umum yang mempunyai kapasiti terhad dan dengan peningkatan jumlah kes positif Covid-19, hospital berkenaan menghadapi masalah untuk menampung sejumlah besar pesakit pada satu-satu masa.

Keputusan untuk mendirikan hospital medan di Kapit dibuat susulan perbincangan antara Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dengan Kementerian Pertahanan.

Pada 30 April lepas, Kapit mencatatkan 156 kes positif Covid-19, dengan 87 peratus daripada kes itu merupakan kontak rapat dan telah dikuarantin manakala 45 peratus dari rumah panjang yang telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!