Belum ada kilauan pingat buat skuad terjun negara

Wendy sekadar menduduki tempat ke-11 daripada 12 peserta acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita akhir selepas mengutip 271.20 mata. - Foto Bernama
Wendy sekadar menduduki tempat ke-11 daripada 12 peserta acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita akhir selepas mengutip 271.20 mata. - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD terjun negara masih belum meraih sebarang kilauan pingat pada kejohanan Piala Dunia Terjun FINA 2021 di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun pada Selasa.

Atlet terjun negara, Wendy Ng Yan Yee yang turun dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita akhir, bagaimanapun sekadar menduduki tempat ke-11 daripada 12 peserta selepas mengutip 271.20 mata.

Penerjun dari China Chen Yiwen memenangi pingat emas selepas mengumpul 383.55 mata diikuti Sarah Bacon dari Amerika Syarikat dengan pingat perak (348.75 mata) manakala seorang lagi penerjun China Chang Yani memenangi gangsa dengan 344.40 mata.

Sabtu lalu, Wendy bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri gagal meraih slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara 3m papan anjal seirama wanita selepas menduduki tempat ke-15 dalam pusingan kelayakan.

Bagaimanapun, kedua-dua atlet terjun wanita negara itu telah layak ke Sukan Olimpik dalam acara 3m papan anjal individu.

Terdahulu, bekas juara dunia, Cheong Jun Hoong tampil bergaya apabila mengungguli pusingan kelayakan acara 10m platform individu wanita sekali gus mendapat tiket ke Sukan Olimpik yang dijadual pada 23 Julai hingga 8 Ogos.

Jun Hoong mengutip 345.30 mata untuk mara ke peringkat separuh akhir yang berlangsung esok, diikuti seorang lagi penerjun negara Pandelela Rinong yang meraih tempat keempat dengan 325.00 mata.

Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA 2021 yang berlangsung lima hari dan akan berakhir pada 6 Mei, adalah platform kelayakan terakhir ke Olimpik Tokyo.

Artikel Berkaitan:

Leong Mun Yee juga telah menempah tiket ke Sukan Olimpik manakala Chew Yiwei masih dalam pemburuan tempat ke temasya lima tahun sekali itu.

Yiwei dan Muhammad Syafiq Puteh dijadual turun beraksi dalam acara 3m papan anjal individu lelaki pada Rabu. - Bernama