Platform khusus MyDigital bakal diwujudkan

Mustapa
Mustapa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu platform khusus bakal diwujudkan bagi membolehkan inisiatif My DIGITAL di peringkat kebangsaan dapat diterjemahkan serta diselaraskan melalui Pelan Strategik dan Pelan Digital setiap negeri bagi mencapai aspirasi yang sama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jurang pelaksanaan agenda digital di antara negeri akan dinilai dan dipantau melalui satu indeks pencapaian yang akan dibangunkan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM).

Mustapa pada Selasa telah mempengerusikan mesyuarat antara urusetia Pejabat Pengurusan Perubahan Strategik (SCMO) yang ditubuhkan di bawah UPE, JPM dengan kerajaan-kerajaan negeri mengenai inisiatif MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 19 Februari 2021.

Pada mesyuarat tersebut, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (MCMCg) turut membentangkan laporan suku pertama program Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang di antaranya menyentuh tiga perkara termasuklah kos membina struktur menara komunikasi dan struktur atas bumbung yang berbeza mengikut negeri.

Kos membina menara komunikasi ini melibatkan julat yang besar di antara RM37,600 hingga RM2,065.

“Kadar migrasi talian mudah 3G kepada 4G meningkat sebanyak 130 peratus melibatkan 629,018 pelanggan berbanding sasaran 562,490 pelanggan pada 28 Februari 2021. Dengan migrasi ini, sebanyak 20,492 pemancar 3G telah ditutup,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Mustapa berkata, jumlah aduan daripada pengguna dalam tempoh Januari hingga Mac 2021 - berdasarkan 50 daerah tertinggi, Johor Bahru mencatatkan aduan tertinggi (2,387 aduan), Petaling (2,303 aduan), Kuala Lumpur (1,888 aduan), Seremban (1,581 aduan) dan Klang (1,428 aduan).

Aduan-aduan ini termasuk mengenai ketiadaan liputan dan kualiti liputan internet. SKMM mengambil berat aduan-aduan ini dan telah mengarahkan syarikat telekomunikasi supaya menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan.

Artikel Berkaitan:

“Kerjasama di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri adalah perlu untuk memastikan inisiatif MyDIGITAL dapat dilaksanakan dengan jaya. Mesyuarat dengan kerajaan negeri akan diadakan pada setiap tiga bulan bagi memastikan semua negeri akan dapat melaksanakan agenda digital dengan berkesan.

“Penyelarasan ini adalah perlu bagi merapatkan jurang digital yang wujud di antara negeri-negeri dan memastikan Malaysia terus kekal kompetitif untuk menarik pelaburan,” katanya. - Bernama