Peningkatan kes Covid-19 di Pahang membimbangkan

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Situasi terkini pandemik Covid-19 di negeri Pahang semakin membimbangkan apabila menunjukkan trend peningkatan kes dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan sehingga Isnin (3 Mei) sebanyak 354 kes dengan empat daerah diletakkan di bawah kategori Zon Merah iaitu Bentong, Kuantan, Temerloh dan Raub.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, trend peningkatan kes di daerah Kuantan membimbangkan dan tidak menunjukkan sebarang penurunan.

" Sehingga jam 12 tengah hari pada Selasa, jumlah kumulatif kes positif di daerah Kuantan 1,470 kes dengan jumlah kes aktif 143 kes daripada sembilan kluster.

" Jumlah sampel yang belum ada keputusan ialah 647 sampel dan 1,942 individu dikenakan perintah kuarantin di rumah," katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.

Wan Rosdy berkata, terkini, Taman Tanah Putih Baru di sini telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengawal penularan Covid-19 dalam kalangan komuniti.

"Ia ekoran berlaku penularan virus itu yang dipercayai berpunca daripada jangkitan di masjid yang berkemungkinan daripada aktiviti berbuka puasa dan moreh yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Susulan perkembangan ini, kerajaan negeri bercadang untuk mengenakan peraturan lebih ketat jika peningkatan kes tidak dapat dikawal dengan sebaiknya termasuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti di Mukim Gali dan Tras, Raub," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, rakyat Pahang diharap agar sentiasa bersama-sama kerajaan negeri dan pihak penguatkuasa, dalam usaha ini dengan memastikan pematuhan terhadap SOP dipatuhi.

"Bagi penduduk daerah Kuantan terutamanya, mereka perlu mengawal penularan pandemik ini dengan mengambil langkah-langkah kawalan termasuk menghadkan aktiviti atau majlis rasmi berbentuk perhimpunan yang melibatkan orang ramai.

"Mereka juga perlu menghadkan pergerakan rentas masuk dan keluar daerah, sentiasa mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa," katanya.

Beliau juga menekankan agar bilangan engunjung ke bazar Ramadan dan Aidilfitri pada satu-satu masa dikurangkan daripada kapasiti sedia ada, bagi memastikan penjarakan fizikal yang sesuai dengan keluasan tapak bazar berkenaan.