Premis berisiko sebar Covid-19 disenarai di bawah HIDE

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media pelaksanaan sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) di ibu pejabat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 hari ini. - Foto Bernama
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media pelaksanaan sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) di ibu pejabat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju menyenaraikan semua premis yang mempunyai risiko penularan Covid-19 dalam sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) bermula Jumaat ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan peningkatan jumlah kes baharu Covid-19 di negara ini sejak kebelakangan ini.

“Senarai itu membolehkan pemilik premis dan orang ramai mengambil tindakan wajar bagi mencegah terjadinya kluster berpunca daripada premis tersebut.

“Selain itu, ia membolehkan premis perniagaan terbabit diletakkan 'hotspot' terhadap kemungkinan pembentukan kluster yang besar,” katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan sistem HIDE di sini pada Selasa

Khairy Jamaluddin berkata, dengan adanya senarai premis itu juga, ia membolehkan orang ramai melaksanakan pengawasan kendiri termasuk dengan tidak berkunjung ke sesuatu premis atau kawasan berisiko.

Sistem HIDE, dibangunkan bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kesihatan, bertujuan memberi amaran awal dalam mencegah peningkatan jangkitan COVID-19 dengan menggunakan data daripada aplikasi MySejahtera.

Memperincikan mengenai HIDE, Khairy Jamaluddin berkata, amaran awal yang dikeluarkan sistem yang menggunakan analisis data raya dan kecerdasan buatan itu berupaya mengelak kerajaan melaksanakan tindakan drastik seperti penutupan premis dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini adalah langkah kerajaan utk memastikan intervensi kita mempunyai suatu pendekatan yang lebih bersasar,” katanya yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Khairy Jamaluddin menyarankan semua premis untuk mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera bagi membolehkan sistem HIDE menjalankan analisis yang tepat.

“HIDE menjalankan analisis berdasarkan beberapa pemboleh ubah seperti rekod kes positif yang pernah mengunjungi premis, tempoh lawatan, luas kawasan serta pengaliran udara,” kata Khairy Jamaluddin.

Bagi mengelak premis dikategorikan sebagai ‘hotspot’ oleh sistem HIDE, beliau menasihatkan pemilik premis untuk melakukan ujian saringan terhadap pekerja, merekodkan aktiviti keluar masuk dengan lebih ketat serta mewajibkan pengunjung mengimbas kod QR My Sejahtera.

Khairy Jamaluddin berkata, pusat membeli-belah, kedai makanan dan minuman, premis pejabat, pasar raya dan bazar adalah antara kawasan ‘panas’ yang dikenal pasti di bawah sistem HIDE.

Beliau berkata, orang ramai yang pernah melawat tempat potensi ‘tompok panas’ ini diklasifikasikan sebagai kontak biasa dan mereka yang ‘ditanda’ digalak menjalani pemeriksaan kesihatan diri bagi gejala Covid-19.

"HIDE adalah satu lagi langkah menyediakan orang awam dan memperkasakan komuniti dengan maklumat yang lebih luas untuk mereka membuat keputusan tepat serta pemilik premis mengambil langkah segera seperti menjalankan saringan dan mengasingkan pekerja mereka bagi memastikan premis mereka tidak tergolong sebagai kawasan tompok panas,” katanya. - Bernama