Pulau Pinang agih zakat kepada 24,072 asnaf

Zolkefli (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Amran dalam majlis ringkas di Bukit Mertajam pada Selasa.
Zolkefli (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Amran dalam majlis ringkas di Bukit Mertajam pada Selasa.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Zakat Pulau Pinang (ZPP) meneruskan tanggungjawab dalam mengagihkan zakat kepada asnaf fakir dan miskin melalui Saguhati Nur Ramadan dan Saguhati Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amran Hazali berkata, untuk kedua-dua program sumbangan berkenaan, pihaknya memperuntukkan dana sebanyak RM7,316,100 bagi disalurkan kepada 24,072 penerima.

"Bagi Saguhati Nur Ramadan, ZPP telah mengagihkan sebanyak RM3,050,800 dengan bilangan penerima seramai 14,644 orang.

"Saguhati Hari Raya Aidil Fitri pula berjumlah sebanyak RM4,265,300 dengan bilangan penerima seramai 9,428 orang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat ZPP di sini pada Selasa.

Amran sebelum itu menerima zakat perniagaan daripada Maybank Islamic Berhad berjumlah RM209,519.81 yang disampaikan Pengarah Maybank Berhad Wilayah Utara, Zolkefli Awang dalam majlis ringkas yang diadakan pada petang Selasa.

Beliau berkata, dengan bantuan itu diharap dapat meringankan beban golongan sasar ketika menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal yang bakal tiba.

Sementara itu, Amran berkata, laporan kutipan zakat bagi suku tahun pertama iaitu 1 Januari hingga 3 Mac 2021 mencatatkan pungutan hampir RM28.3 juta.

Menurutnya, jumlah kutipan itu meningkat hampir sekali ganda berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM18.312 juta bagi tempoh sama.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, jumlah pembayar zakat terkumpul bagi suku tahun pertama ini juga bertambah sebanyak 5,792 orang iaitu daripada 53,690 orang tahun lalu kepada 59,482 orang tahun ini.

“Pertambahan ini dilihat cukup positif dalam usaha kita mencapai sasaran kutipan zakat bagi tahun ini berjumlah RM136 juta termasuk zakat fitrah,” katanya.