Empat import baharu perkuat Tok Gajah

No Image Caption
A
A
A

PERSOALAN pemain yang bakal menyertai skuad Sri Pahang FC pada waktu jendela perpindahan kedua terjawab apabila empat pemain import baharu skuad itu diumumkan pada Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, mereka ialah pemain dari Myanmar, Aung Kaung Mann, Manuel Hildago (Argentina), Abubakar Yakubu (Ghana) dan Kenny Anthiu (Australia).

"Saya boleh sahkan tiga pemain berkenaan sudah berada di Kuantan manakala seorang lagi sedang menjalani kuarantin yang dijadual berakhir Rabu ini.

"Kita berharap kemasukan tonggak utama ini mampu meningkatkan prestasi skuad Tok Gajah pada pusingan kedua Liga Super," katanya pada Isnin.

Mohammed Suffian, bagaimanapun, enggan mengulas mengenai pemain yang akan diketepikan dengan kemasukan pemain baharu itu, namun berjanji akan membuat pengumuman berkaitan hal berkenaan dalam waktu terdekat.

"Saya tidak boleh memberikan senarai nama empat pemain terbabit buat masa ini disebabkan ada perkara yang perlu diselesaikan dahulu sebelum pengumuman dibuat," katanya.

Ketika ini, skuad Tok Gajah menyenaraikan lima pemain import untuk saingan musim ini iaitu Yevhen Bokhashvili dari Ukraine, Herold Goulon (Perancis), Lee Tuck (England), Mamadou Wague (Lubnan) dan Pedro Henrique (Timor Leste).

Artikel Berkaitan: