Sindiket Love Scam dikesan terus rekrut ahli baharu

Zainuddin
Zainuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan sindiket Love Scam yang didalangi warga Afrika terus merekrut ahli baharu di negara ini untuk meneruskan kegiatan penipuan mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, sejak tahun 2019 hingga Mac ini, polis telah melakukan sebanyak 2,251 operasi membabitkan tangkapan seramai 2,826 orang.

Beliau berkata, berbanding modus operandi sindiket penipuan lain, Love Scam adalah taktik yang paling kerap digunakan dipercayai kerana keberkesanan kaedah itu untuk memerangkap mangsa.

"Di sebalik operasi dan tangkapan yang dilaksanakan secara berterusan, rangkaian sindiket ini dipercayai terus merekrut ahli baharu bagi memastikan kesinambungan kegiatan mereka.

"Berdasarkan kajian, bagi tempoh tiga tahun ini, terdapat trend peningkatan dalam kes Love Scam," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Zainuddin berkata, bagi tahun 2019, sebanyak 1,535 kes Love Scam dilaporkan dengan kerugian berjumlah RM79.1 juta.

"Jumlah ini meningkat dengan 47 kes pada tahun lalu kepada 1,582 kes membabitkan kerugian mencecah RM58.3 juta.

"Bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, jumlah kes yang dicatatkan ialah sebanyak 549 kes dengan kerugian sebanyak RM20.5 juta. Berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020, kes yang direkodkan tahun ini menunjukkan peningkatan 83 kes," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Jelas Zainuddin, peningkatan kes itu merupakan satu situasi yang perlu ditangani dengan serius.

Justeru katanya, tindakan membanteras dan mencegah melibatkan pihak polis dan masyarakat perlu dilaksanakan dengan lebih efektif.

"Di peringkat PDRM, kita melipatgandakan usaha khususnya daripada aspek siasatan dan operasi," katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan gambar profil yang cantik dan tampan di media sosial sehingga terpedaya dan seterusnya menjadi mangsa penipuan.

"Usah cepat terpedaya dengan kata manis. Berhati-hati memilih rakan di media sosial dan usah mendedahkan maklumat perbankan atau identiti serta keluarga kepada individu tidak dikenali.

"Selain itu, jangan sesekali beri pinjaman atau memasukkan wang ke dalam akaun individu sekiranya diminta.

"Pastikan semak di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi 'Semak Mule CCID', juga boleh hubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-2610 1559 atau 03-2610 1599," katanya.