Tiga produk kosmetik dikesan punyai racun berjadual

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiga produk kosmetik di pasaran yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga produk tersebut ialah Deeja Cosmetic Yulai Cream, Deeja Cosmetic Laila Cream dan Deluxe Beauty-Ultra Lightening Cream Pearl Perfect Fairness.

Beliau berkata, produk berkenaan mengandungi racun berjadual seperti hydroquinone, merkuri dan betamethasone 17-valerate.

“Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM.

“Oleh itu, produk-produk kosmetik tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dr Noor Hisham berkata, produk yang mengandungi hydroquinone dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

Katanya, ia hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

"Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penjualan dan pengedaran produk tersebut melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Katanya, penjualan serta pengedarannya perlu dihentikan serta-merta.

Tegas beliau, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

Bagi kesalahan berikutnya, katanya, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai menghentikan penggunaan produk berkenaan dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan sekiranya mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan buruk.

Orang awam juga digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) iaitu www.npra.gov.my atau melalui aplikasi 'NPRA Product Status' yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.