X

Kindly register in order to view this article
!

Geng Ah Kit aktif dalam kes pecah rumah tumpas

Rusdi (kiri) menunjukkan antara barangan yang dirampas dalam serbuan yang dijalankan.
A
A

SERDANG - Sekumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Ah Kit yang bergiat aktif dalam kes pecah rumah di daerah ini tumpas setelah diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Gurney, Ulu Yam Bharu, Batang Kali pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang, Superintenden Rusdi Daud berkata, lima anggota kumpulan berkenaan merupakan warga tempatan.

"Kesemua suspek ditahan kira-kira jam 11.30 pagi terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berumur antara 35 hingga 50 tahun.

"Suspek yang diberkas dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di dalam daerah Serdang dan sekitar Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada Selasa.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, kumpulan itu dipercayai menjalankan kegiatan jenayah tersebut sejak beberapa bulan lalu.

"Modus operandi yang dijalankan kumpulan ini ialah dengan memasuki kawasan perumahan dan meletakkan kenderaan dinaiki mereka di kawasan tepi rumah mangsa.

"Suspek kemudiannya bertindak menekan loceng sebanyak dua hingga ke tiga kali untuk memastikan bahawa rumah tersebut berpenghuni atau tidak, sekiranya tidak mereka akan mula mengumpil pintu hadapan untuk memecah masuk," katanya.

Menurutnya, terdapat pelbagai barangan yang dirampas termasuk dua buah kereta iaitu Perodua Myvi dan Toyota Vios.

"Selain kereta, turut dirampas komputer riba, ipad, telefon bimbit dan pelbagai barangan lain dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM113,000.

"Kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!