X

Kindly register in order to view this article
!

Enam nelayan Indonesia tanpa dokumen ditahan

Bot dan kesemua nelayan berkenaan ditahan dan dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung di Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM Pulau Pinang bagi tindakan lanjut.
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang menahan enam nelayan Indonesia yang berada dalam sebuah bot dalam Ops Benteng pada jam 12.30 tengah hari Isnin.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Razak Mohamed berkata, bot tersebut ditahan di kedudukan 33 batu nautika barat Pulau Kendi, di sini.

Menurutnya, bot tersebut dikesan berada dalam kawasan perairan Malaysia oleh sepasukan Maritim Pulau Pinang yang menaiki bot KM Burau ketika melakukan rondaan.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit mendapati ia dikendalikan oleh tekong bersama lima kru warga Indonesia yang berusia lingkungan 20 hingga 42 tahun.

"Ketika pemeriksaan, mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kesemua nelayan asing itu didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 59/63 iaitu tinggal atau berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

"Mereka juga didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal melaporkan kepada pihak berkuasa untuk memasuki perairan Malaysia.

"Jika disabitkan kesalahan, tekong dan kru boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. Mereka juga boleh dikenakan sebatan tidak melebihi enam kali," katanya.

Abdul Razak berkata, bot dan kesemua nelayan berkenaan ditahan dan dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung di Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Pulau Pinang bagi tindakan lanjut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!