X

Kindly register in order to view this article
!

Jual 'ayam pengakap' buat sumbangan golongan memerlukan

Harith Iskandar melihat ayam yang sedang dibakar menggunakan arang di dalam pasu supaya tidak rentung ketika berniaga di tepi jalan utama ke Kampung Tengah pada Selasa. - Foto Bernama
A
A

KUANTAN - Jika dilihat, khemah berwarna biru menjual ayam pasu di tepi jalan utama ke Kampung Tengah, di sini tiada beza dengan gerai lain yang berniaga juadah popular berbuka puasa itu.

Namun, istimewanya gerai yang diusahakan ahli Majlis Pengakap Kelana Negeri Pahang ialah mereka tidak mengambil keuntungan jualan kerana semuanya disumbangkan kepada golongan memerlukan menerusi pemberian juadah berbuka atau bersahur.

Malah, 100 peratus operasi gerai seawal 12 tengah hari setiap hari itu dilakukan secara sukarela oleh enam anak muda berusia antara 18 dan 26 tahun yang dimulai dengan menghidupkan arang dalam 10 pasu tanah liat sebagai persediaan membakar ayam.

Wakil kumpulan berkenaan, Muhammad Fikri Ab Basir, 19, berkata, mereka menyasarkan jualan antara 40 dan 50 ekor ayam setiap hari bagi memastikan keuntungan hari itu mencukupi untuk menggalas perut sekurang-kurangnya 250 orang kurang bernasib baik.

"Kami menyasarkan rumah anak yatim, warga emas serta orang kurang upaya (OKU) sekitar Kuantan dan Temerloh selain ada yang diagihkan di lokasi tertentu untuk mereka kurang bernasib baik seperti gelandangan.

"Kerja ini tidak begitu sukar buat kami kerana kemahiran sebagai pengakap amat membantu dalam menyediakan juadah terutamanya untuk menghidupkan api, selain resepi digunakan diolah daripada resepi semasa berkhemah," katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.

Rakannya Harith Iskandar Zulkifli, 19, mengakui setiap kali membuka gerai, dirinya tidak putus-putus berdoa agar semua ayam habis dijual sebelum 6 petang supaya dapat segera mengira keuntungan untuk membeli juadah berbuka atau jika tidak, sumbangan hari itu 'dianjakkan' kepada sahur.

Ditanya keistimewaan ayam pasu yang dijual pada harga RM28 seekor dan RM15 separuh, Harith Iskandar berkata, ayam itu diperap dalam tempoh lama dengan menggunakan sos lada hitam dimasak sendiri dan ditambah dengan herba seperti ‘rosemary’, ‘oregano’ dan ‘thyme’.

"Tempoh membakar sekitar sejam hingga sejam setengah bergantung kepada saiz ayam dan jangka masa lama menjadikan kulit ayam garing namun isinya masih lembap. Setiap 15 minit, kami akan menyimbah sos perapan dan memusingkan ayam supaya masak sekata," katanya.

Harith Iskandar menambah pelanggan juga mempunyai tiga pilihan sos pencicah iaitu sos ala Thai, sos keju dan sos lada hitam.

Sementara itu, pengerusi persatuan itu Asmawi Sulaiman berkata, idea untuk berniaga timbul kira-kira dua minggu sebelum Ramadan kerana mereka mencari dana untuk berkongsi rezeki tanpa mengutip sumbangan daripada orang awam.

Bagaimanapun, Asmawi berkata, ada pembeli yang secara sukarela tidak mengambil baki atau memberi sumbangan peribadi apabila mengetahui 'projek dilakukan mereka sebagai tanda sokongan' selain ada yang menjadi pelanggan tetap setiap minggu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!