PKP di enam daerah di Selangor

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor bermula 6 Mei sehingga 17 Mei.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, enam daerah yang terlibat ialah daerah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Menurutnya, kesemua penduduk di daerah terlibat tidak dibenarkan melakukan perjalanan rentas daerah kecuali atas urusan kecemasan.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira peningkatan mendadak kes positif Covid-19 dan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Selangor mencatatkan jumlah kes harian yang tinggi sejak 20 April sehingga 4 Mei 2021,” katanya pada sidang akhbar Menteri Kanan (Keselamatan) pada Selasa.

Ismail berkata, keputusan melaksanakan PKP di enam daerah tersebut dibuat selepas meneliti pembentangan kerajaan negeri dan merujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta data Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)

Beliau berkata, tiga lagi daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor masih berada di bawah PKP Bersyarat (PKPB).

Dalam pada itu, Ismail berkata, premis makanan seperti restoran, kendera saji, penjaja dan kiosk di kawasan PKP hanya akan dibenarkan beroperasi dari 6 pagi sehingga 10 malam.

“Untuk operasi pasar harian, pasar tani, pasar awam dan pasar minggu dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 2 petang manakala bazar Ramadan di kawasan PKP masih dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, keputusan untuk meneruskan atau menutup operasi bazar tertakluk di bawah kuasa Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya.

Ismail menambah, maklumat lanjut berhubung SOP untuk PKP di 6 daerah terlibat boleh didapati di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN).