KPDNHEP Melaka rampas kasut, selipar tiruan berjenama

Anggota penguat kuasa KPDNHEP Melaka menyerbu sebuah rumah di Krubong yang dijadikan lokasi menyimpan serta menjual kasut dan selipar tiruan pada Isnin
Anggota penguat kuasa KPDNHEP Melaka menyerbu sebuah rumah di Krubong yang dijadikan lokasi menyimpan serta menjual kasut dan selipar tiruan pada Isnin
A
A
A

MELAKA - Taktik sebuah sindiket menjadikan sebuah rumah teres di Krubong di sini sebagai lokasi menyimpan stok barangan tiruan terbongkar selepas diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka pada Isnin.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, operasi bermula jam 3 petang itu berjaya merampas sebanyak 846 pasang kasut dan selipar tiruan berjenama dengan disertai wakil pemilik cap dagang.

Menurutnya, kumpulan itu menggunakan modus operandi menjalankan urusan jual beli secara dalam talian dan menggunakan khidmat kurier bagi mengelak aktiviti yang dilakukan sejak tiga bulan lalu itu dihidu pihak berkuasa.

"Penjualan barangan tiruan itu dikesan oleh wakil pemilik cap dagang selepas mendapati ia dijual secara aktif melalui platform e-dagang sejak tiga bulan lalu.

"Antara kasut dan selipar yang dirampas termasuk 345 pasang kasut tiruan jenama Nike, 287 selipar tiruan jenama Nike dan 214 pasang selipar tiruan jenama Adidas yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM12,800," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Jelasnya, bagi memastikan ketulenan produk wakil cap dagang turut membuat pembelian dan mendapati kasut berjenama Nike diterimanya adalah produk tiruan.

Katanya, mereka dipercayai menjual kasut dan selipar pelbagai jenama pada harga bermula daripada RM25 hingga RM150 dan kualiti barangan digredkan sebagai medium-low.

"Kita turut menahan seorang lelaki dipercayai pemilik perniagaan dan rumah terbabit bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagang 2019.