Zakat Melaka sasar kutipan zakat fitrah RM5 juta tahun ini

Ibrahim (kiri) memakaikan samping kepada salah seorang penerima ketika menghadiri program Pautan Kasih Ramadan bersama Anak-anak Fakir, Miskin dan Yatim anjuran Zakat Melaka di Bukit Baru, Melaka pada Selasa. - Foto Bernama
Ibrahim (kiri) memakaikan samping kepada salah seorang penerima ketika menghadiri program Pautan Kasih Ramadan bersama Anak-anak Fakir, Miskin dan Yatim anjuran Zakat Melaka di Bukit Baru, Melaka pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Zakat Melaka menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM5 juta tahun ini berbanding RM4.5 juta pada tahun lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ibrahim Fadzil.

Beliau berkata, walaupun negara masih lagi berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19, namun umat Islam dilihat mempunyai kesedaran dan memberi komitmen tinggi dalam melaksanakan rukun Islam keempat itu.

Selain itu, trend pembayaran zakat secara dalam talian juga semakin meningkat menerusi pelbagai plaftorm yang disediakan Zakat Melaka sekali gus memberi kemudahan kepada orang ramai, kata beliau.

"Kaunter pembayaran zakat fitrah juga dibuka di kilang-kilang, pasar Ramadan, pasar raya dan sebagainya dan tahun ini seramai 953 amil iaitu golongan pemungut zakat dilantik di negeri ini bagi memudahkan urusan umat Islam melaksanakan tuntutan itu.

"Selain itu jumlah pembayar zakat RM14 juga menunjukkan pertambahan dalam kalangan umat Islam di negeri ini dan kita percaya sasaran itu tidak mustahil dapat dicapai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pautan Kasih Ramadan bersama anak-anak fakir, miskin dan yatim anjuran Zakat Melaka di Bukit Baru, di sini pada Selasa.

Sementara itu, Ibrahim berkata, seramai 100 murid sekolah dari tiga daerah negeri ini terpilih dan diraikan dalam program itu bagi membeli kelengkapan pakaian serta diberi duit raya sempena ketibaan Syawal.

Program itu, kata beliau melibatkan peruntukan sebanyak RM12,000 dan diadakan secara berperingkat selama tiga hari mengikut daerah bagi mengelakkan kesesakan dalam kedai selain memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Pemberian sumbangan ini secara tidak langsung memberi mereka merasai kemeriahan hari lebaran dan kita juga berterima kasih kepada pembayar-pembayar zakat di negeri ini serta berharap orang ramai yang berkemampuan, membuat bayaran zakat tanpa menunggu saat akhir," katanya. - Bernama