Longgar syarat kemasukan awak-awak asing: LKIM

Syed Abu Hussin (tengah) menyampaikan bantuan asnaf sempena Ramadan di Bukit Gantang.
Syed Abu Hussin (tengah) menyampaikan bantuan asnaf sempena Ramadan di Bukit Gantang.
A
A
A

TAIPING - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) meminta kerajaan mengkaji semula isu kekurangan pekerja asing bagi membolehkan sektor perikanan kembali pulih selepas terjejas teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Pengerusinya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, syarat ketat kemasukan pekerja atau awak-awak dari Thailand, Vietnam dan Myanmar menyebabkan ratusan bot laut dalam tersadai tidak beroperasi.

"Permohonan untuk memasukkan pekerja atau awak-awak dari negara Thailand sudah ada dan telah diluluskan namun terhalang disebabkan peraturan ketat daripada Jabatan Imigresen Malaysia.

"Di Bukit Gantang iaitu di Panchor dan Kuala Sepetang sahaja kita ada 300 buah bot laut dalam yang tersadai akibat ketiadaan pekerja asing dan perkara ini berlaku sejak pandemik Covid-19.

"Pekerja tempatan kita sebenarnya masih kurang lasak untuk bekerja di sektor ini yang perlu berada di lautan berminggu-minggu," katanya ketika ditemui pada program Bantuan Asnaf Sempena Ramadan Parlimen Bukit Gantang, di Gelanggang Futsal Bukit Gantang di sini pada Selasa.

Menurutnya, pengoperasian bot-bot tempatan juga dapat bertindak sebagai 'mata dan telinga' kepada penguatkuasa bagi menghalang pencerobohan bot nelayan negara asing yang mengaut hasil laut negara.

"Kerajaan perlu memikirkan sesuatu seperti melonggarkan sedikit syarat kemasukan pekerja asing bagi membolehkan bot-bot laut dalam yang tersadai ini dapat digerakkan dan dapat bertindak menjadi benteng pertahanan perairan negara dari terus diceroboh.

"Justeru, bagi memastikan sumber perikanan kita tidak terus diambil penceroboh asing, kerajaan perlu segera bertindak bagi menggerakkan semula industri laut dalam ini," katanya.

Artikel Berkaitan: