Aidilfitri: PDRM laksana Ops Rentas bermula 10 Mei

 Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan Ops Rentas di seluruh negara bermula 10 hingga 16 Mei ini.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan Ops Rentas di seluruh negara bermula 10 hingga 16 Mei ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan Ops Rentas di seluruh negara bermula 10 hingga 16 Mei ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, pemantauan JSPT mendapati berlaku peningkatan aliran jumlah kenderaan di jalan utama dan lebuh raya.

Menurutnya, dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dipatuhi, JSPT telah mengatur gerak petugas trafik bagi membuat pemantauan dan pengawalan lalu lintas Pra Ops Rentas bermula 3 Mei.

"Pelaksanaan secara menyeluruh Ops Rentas akan bermula 10 Mei hingga 16 Mei ini dengan konsep total enforcement, show of force, perkhidmatan dan advokasi kepada masyarakat.

"Sasaran ini melibatkan enam kesalahan utama iaitu memandu di lorong kecemasan, melebihi had laju, memotong barisan, memotong garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat serta menggunakan telefon bimbit ketika memandu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, selain itu, operasi lain iaitu Ops Samseng Jalanan, Ops Lancar, Ops Motosikal dan sekatan jalan raya turut diadakan bagi pemeriksaan rentas negeri tanpa kebenaran.

Jelas Azisman, pelaksanaan Ops Rentas turut meliputi lokasi-lokasi dikenal pasti seperti kerap berlaku kemalangan, kesesakan, persimpangan lampu isyarat dan pelanggaran SOP di kawasan tumpuan ramai seperti terminal bas dan teksi, kawasan rehat dan rawat (R&R), bazar Ramadan serta kompleks beli-belah.

Katanya, JSPT mengingatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang jalan raya serta SOP Covid-19 yang ditetapkan sepanjang musim perayaan ini.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang ingkar SOP Covid-19 akan dikenakan tindakan tegas berlandaskan peruntukan undang-undang yang ada," katanya.