Ibu tunggal terima rumah baharu ganti kediaman dihempap pokok

Abdul Rahman (empat, kanan) menyempurnakan simbolik perasmian penyerahan kunci rumah milik Noridahayati (tiga,kanan) di Kampung Tanjung Lipis, Isnin.
Abdul Rahman (empat, kanan) menyempurnakan simbolik perasmian penyerahan kunci rumah milik Noridahayati (tiga,kanan) di Kampung Tanjung Lipis, Isnin.
A
A
A

LIPIS - Sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna buat seorang ibu tunggal kerana dapat memiliki rumah baharu selepas kediamannya sebelum ini musnah dihempap pokok pada 10 Januari lalu.

Noridahayati Mohammad Yusof,51 dari Kampung Tanjung Lipis di sini menerima rumah baharu yang memiliki tiga buah bilik dan satu tandas menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) membabitkan kos RM53,000.

Ibu kepada lima anak berusia 19 hingga 31 tahun itu berkata, dia gembira dapat memiliki rumah baharu itu menggantikan kediamannya yang musnah sebelum ini.

"Sebelum ini rumah saya ditenggelami banjir pada awal tahun ini dan kemudiannya musnah selepas dihempap pokok.

"Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, saya bersama cucu dan syukur selamat walaupun mengalami sedikit kecederaan," katanya pada Sinar Harian pada Isnin.

Dia ditemui sempena majlis penyerahan kunci yang disampaikan oleh Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad sempena program Majlis Amanah Rakyat (Mara) Prihatin Ramadan@ Lipis.

Dalam pada itu, Noridahayati bersyukur kerana rumah tersebut dapat disiapkan dalam tempoh singkat.

"Terima kasih kepada semua pihak yang membantu untuk memastikan saya mendapat rumah ini," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abdul Rahman memberitahu, sumbangan terbabit untuk membantu mereka yang memerlukan dan memuji kerja keras pihak terlibat yang dapat menyiapkan rumah Noridahayati dalam tempoh kira-kira tiga bulan.