X

Kindly register in order to view this article
!

Dakwaan DAP bentuk jajaran baharu hanya spekulasi

Suee Lim (kiri) bersama penerima pada Majlis Penyampaian Baucar Jom Shopping Hari Raya Aidilfitri di PKM DUN Sekinchan di Sekinchan pada Selasa.
A
A

SEKINCHAN - Dakwaan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa DAP membentuk satu jajaran baharu bersama parti lain secara diam hanyalah spekulasi semata-mata.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Ng Suee Lim berkata, setakat ini DAP konsisten untuk terus bersama rakan komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

"Soal kerjasama kita dengar (hanyalah) khabar angin sahaja (kerana) tiada kerjasama (membentuk jajaran baharu bersama parti lain).

"Cuma kita nampak berkawan itu biasa, tetapi belum ada sebarang jalinan kerjasama dengan pihak lain untuk mewujudkan jajaran politik baharu," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Baucar Jom Shopping Hari Raya Aidilfitri di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan di sini pada Selasa.

Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan bagaimanapun berkata, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan sekiranya terdapat kerjasama lain pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Politik ini boleh berubah sekelip mata kerana tiada kepastian 100 peratus. Ibarat sekali air bah, sekali pantai berubah. Kita sentiasa terbuka apa jua senario akan datang," ujar beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang kemungkinan juga mesti berpaksikan kepada perjuangan PH bagi membela nasib rakyat.

"PH tidak boleh berpecah dan bergelut antara satu sama lain kerana acuan utama kita ialah walaupun hilang kerajaan dalam tempoh 22 bulan tetapi rakyat masih rindu dengan PH.

"Semangat PH inilah wajib kita perkasa untuk pertahan dan perjuangkan hak rakyat seterusnya membina harapan baharu untuk kebaikan negara," jelasnya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kenyataan Wan Saiful yang mendakwa DAP membentuk satu jajaran baharu bersama parti lain secara diam.

Menurutnya, parti tersebut tidak akan menjadi kerajaan sekiranya berseorangan dan tidak bersama parti lain.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!