OKU ditahan selepas lari langgar polis

Keadaan Zaharuddin selepas dilanggar.
Keadaan Zaharuddin selepas dilanggar.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) berjaya ditahan polis ketika cuba melarikan diri menaiki kereta selepas melanggar seorang anggota polis trafik di KM115 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur, di sini, Sabtu lalu.

Lelaki berusia 24 tahun berkenaan ditahan berhampiran Plaza Tol Behrang kira-kira dua kilometer dari lokasi dia melanggar anggota trafik dari Jabatan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mualim.

Ketua Polis Daerah Mualim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, Koperal Zaharuddin Zakaria patah pergelangan tangan kanan, tulang kaki kiri dan mengalami luka di bahagian mulut selepas dilanggar kereta Jenis Perodua Kenari ketika menunggang motosikal peronda sekitar jam 10.50 malam.

Wan Kamarul melawat Zaharuddin yang menerima rawatan di hospital
Wan Kamarul melawat Zaharuddin yang menerima rawatan di hospital

Menurut Wan Kamarul siasatan awal mendapati, Zaharuddin berusia 57 tahun sedang mengiringi sebuah lori treler membawa muatan lebar dari arah Slim River menghala ke Tanjung Malim bersama dua lagi anggota trafik.

“Apabila tiba di KM115 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur, selepas lampu isyarat Ulu Behrang, tiba-tiba datang sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 24 tahun dari arah sama mengubah haluan dari kiri ke kanan jalan tanpa sebarang isyarat secara tiba-tiba.

“Kereta berkenaan menghimpit motosikal yang ditunggang Zaharuddin dan menyebabkan dia terjatuh berhampiran pembahagi tengah jalan,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambahnya, akibat daripada itu, Zaharuddin mengalami kecederaan di bahagian kaki dan dirujuk ke Hospital Slim River bagi menerima rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

“Pihak polis telah melawati tempat kejadian di mana kenderaan terlibat diarah dibawa balik ke IPD untuk pemeriksaan Puspakom selain mendapatkan keterangan daripada saksi bagi membantu siasatan.

“Pihak polis menahan lelaki OKU berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.