Mahligai cinta 27 tahun Bill, Melinda Gates berakhir

Gates dan Melinda sepakat untuk berpisah. - Foto Agensi
Gates dan Melinda sepakat untuk berpisah. - Foto Agensi
A
A
A

SEATTLE - Tiada angin tiada ribut, pengasas Microsoft, Bill Gates dan isterinya, Melinda pada Isnin secara tiba-tiba mengumumkan perceraian mereka setelah 27 tahun melayari bahtera perkahwinan.

Pengumuman mengejutkan oleh salah satu pasangan terkaya di dunia yang mempunyai nilai kekayaan berjumlah kira-kira AS$130 bilion (RM536 bilion) itu dibuat menerusi kenyataan bersama di Twitter.

"Kami sepakat untuk berpisah. Namun, kami akan terus berkongsi kepercayaan dan bekerjasama di bawah misi Bill & Melinda Gates Foundation.

"Kami telah membesarkan tiga anak yang luar biasa dan menubuhkan sebuah badan amal terbesar di dunia yang membolehkan orang di seluruh dunia menjalani kehidupan yang sihat serta produktif.

"Kami meminta semua pihak memberi ruang dan privasi kepada keluarga kami untuk memulakan fasa hidup baharu," ujar mereka tanpa memberikan butiran lanjut tentang punca perceraian itu.

Pengumuman itu dibuat dua tahun selepas pengasas Amazon, Jeff Bezos dan isterinya, MacKenzei mengumumkan perceraian mereka.

Gates, 65, dan Melinda, 56, berkahwin pada 1994 ketika wanita itu bekerja di firma teknologi gergasi terbabit selepas pasangan itu pertama kali bertemu pada 1987.

Menerusi siri dokumentari Netflix pada 2019, Gates pernah menggambarkan isterinya sebagai 'pasangan sejiwa' beliau malah Melinda juga menyifatkan suaminya sebagai seorang individu yang kelakar dan bersemangat tinggi.

Artikel Berkaitan:

Sejak beberapa tahun lalu, Gates bertindak menjauhkan diri daripada Microsoft dan industri teknologi selepas beliau lebih memberi tumpuan kepada inisiatif kesihatan serta isu kemiskinan dan pandemik Covid-19.

Difahamkan, Bill & Melinda Gates Foundation telah menyalurkan lebih AS$54 bilion (RM222 bilion) untuk kawalan penyakit berjangkit termasuk malaria, penyelidikan pertanian dan penjagaan asas kesihatan serta sanitasi di beberapa negara di seluruh dunia sejak lebih dua dekad lalu.

Pada tahun lalu, yayasan tersebut berjanji untuk memberikan kira-kira AS$250 juta (RM1.03 bilion) untuk membantu memerangi pandemik Covid-19 dengan sebahagian daripada dana tersebut disalurkan untuk usaha pengagihan vaksin ke bahagian sub-Sahara Afrika dan Asia Selatan.

Sebelum ini, Gates pernah mencetuskan kontroversi selepas beliau dikatakan pernah memberi amaran tentang pandemik global berpotensi pada 2015 sehingga ia menjadi sasaran ahli teori konspirasi yang mendakwa dermawan terbabit kononnya sejak dari awal sudah mengetahui tentang ancaman Covid-19. - AFP